Artikel asal oleh Gempak.com
Zura Ahmad, 35, seorang PR Practitioner dan co-founder Circular Lifestyle Movement @vintage.ria kini antara rakyat Malaysia yang masih tersadai di luar negara. Zura dan suami ke Morocco pada 11 Mac dan sepatutnya pulang pada 19 Mac lalu. Namun, kita hanya merancang, dek kebanyakan negara yang sudah mengistiharkan wabak Covid-19 ini sebagai pandemik, maka penerbangan baliknya turut dibatalkan.
Dari Marrakech, Zura dan suami mengambil keputusan untuk tinggal daerah Rabat supaya lebih dekat dengan pejabat kedutaan Malaysia jika terjadi apa-apa kecemasan. Dengarkan pengalamannya yang menjalani tempoh lock down di tempat asing itu.
Sepatutnya kami terbang balik dari Morocco pada 19 Mac melalui London. Tapi disebabkan kerajaan Morocco dah umumkan secara rasmi lockdown pada esoknya, 20 Mac, airport jadi kelam kabut. Airport yang sepatutnya kami pegi ditutup, penerbangan kami dibatalkan. Makanya, memang tiada jalan balik dah masa tu. Kalau ada pun, setiap penerbangan adalah terhad. Keutamaan diberikan kepada warganegara home country mereka. Keadaan masa tu sangat huru hara. Manusia yang berada di airport dan balai perlepasan sudah tak keruan. Bagi kami pula, dua hari sebelum itu, apabila terdengar ura-ura lockdown akan berlaku, kami sudah cuba cari penginapan untuk jangka masa lama sebagai langkah persedian. Alhamdulillah, saya buat keputusan yang tepat. Kami juga sudah berdaftar dengan kedutaan Malaysia di Morocco melalui email dan pihak kedutaan segera hubungi saya untuk tahu lokasi dan keadaan saya. Mereka juga ada WhatsApp group untuk semua rakyat malaysia yang terkandas.
Bila dan bagaimana keadaannya apabila Morocco umumkan pandemik dan lockdown?
Sebelum official lockdown, kami masih lagi mengunjungi Medina dan Souk (pasar tradisional versi Morocco). Masih ada lagi peniaga yang buka perniagaan walaupun tidak sepenuhnya. Walaupun perkataan ‘Corona’ ada disebut-sebut, namun semua masih lagi cuba positif meneruskan hidup seperti biasa.
Kami agak bernasib baik. Oleh kerana saya bertindak cepat, saya berjaya mendapatkan tempat tinggal untuk jangka masa lama iaitu sebuah apartment di Rabat melalui kawan tempatan. Jadi kosnya tidak semahal tinggal di hotel. Itu juga seperti yang dinasihatkan pihak kedutaan Malaysia untuk mereka yang terkandas mencari tempat tinggal dengan menyewa bulanan. Rezeki kami apabila Allah permudahkan urusan tempat tinggal kami. Alhamdulillah, kos bahan dapur di sini juga agak murah. Kami hanya pakai wang sedia ada. Ahli keluarga dan kawan rapat ada yang membantu untuk transaksi pembayaran melalui online. Allah banyak permudahkan urusan kami, dengan keluarga dan kawan-kawan yang amat prihatin. Ketika awal lockdown tempoh hari, kawan tempatan menghantar barang dapur yang banyak kepada kami. Subhanallah, kami rasa amat disayangi oleh manusia sekeliling. Diplomat dari kedutaan pun ada mengunjungi kami untuk menghantar dokumen dan borang kebenaran untuk keluar membeli barang dapur apabila perlu.
Tiada ura-ura kerajaan Malaysia mahu datang ambil mereka yang terkandas di sana?
Ada kenyataan kerajaan keluarkan bajet untuk bawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas. Ada kurang 30 rakyat Malaysia terkandas di Morocco sekarang ini. Dan lebih banyak lagi di negara lain yang mana keadaan lebih kritikal. Kami kena bersedia untuk tidak bergantung harap dengan kerajaan memandangkan keadaan kami tidaklah sekritikal seperti di lokasi lain. Jadi kami dah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk tinggal lebih lama di sini. Mungkin sampai Raya? Mungkin lama lagi. Only God knows. But we are doing fine here, InsyaAllah.
Pada 20 Mac ketika official lockdown diumumkan, saya dapat lihat bagaimana pihak berkuasa amat mementingkan keselamatan rakyat supaya mereka bersedia awal walaupun kes tak sampai 100 pun masa tu. Mereka cuma membendungnya sebaik mungkin sebelum kes menjadi tinggi. Kami perlu sentiasa bersama borang kebenaran keluar rumah untuk keluar membeli barang dapur. Kedai masih dibuka tetapi tutup lebih awal iaitu pada jam 4 petang. Pada 7 April, pemakaian mask adalah wajib. Road blocks di mana-mana. Sesekali, ada kereta ronda akan lalu dengan speaker yang kuat, “duduk rumah duduk rumah” dalam bahasa French dan Arabic. Dan nampak orang awam berdiri dengan berjarak ketika menunggu giliran membeli barang.
Perasaan Zura pada saat ini?
Perasaan takut memang kena lawan. Saya cuba tenangkan perasaan bosan dan takut dengan fokus pada projek Sustainable Lifestyle melalui instagram @vintage.ria yang mana, saya berkongsi pengetahuan mengenai bagaimana gaya hidup dengan fesyen dan dekorasi item terpakai mampu menyumbang kepada bumi? Dengan keadaan Covid-19 – sustainable lifestyle amat berkait rapat. Jadi, inilah masanya untuk saya betul-betul kick off, masuk kelas Sustainable Development secara online, network dengan sustainable industry player tempatan, jadikan ruang roof top di apartment kami sebagai studio untuk kami shoot barang-barang vintaj yang kami cari di Morocco. Pendek kata, saya cuba sibukkan diri saya. Sekarang pun saya sudah belajar memasak cara tradisional orang Morocco menggunakan tagine (periuk tanah liat berbentuk kon).
Dengan keadaan terkawal di sini, keluarga di Malaysia kekal positif. Mereka memberi semangat untuk kami terus di sini buat masa ini. Memandangkan di mana-mana pun masih lockdown. Paling penting, selamat dan kurang risiko daripada virus Corona. Mereka juga sama-sama memberi idea dan content untuk projek @vintage.ria. Saya menganggap lockdown ini satu rahmat. Sekeluarga bersatu melalui teknologi, menjalankan satu projek. The power of internet!
Harapan Zura di kala ini?
Saya harap bahana Covid-19 ini nanti memberi impak positif dalam diri setiap individu dan juga diri saya sendiri. Bagaimana bumi kita ‘terselamat’ seketika daripada aktiviti hardcore manusia yang menyebabkan ozon menipis dan suhu berubah ketika populasi manusia akan menjangkau ke lapan bilion orang dalam masa beberapa tahun lagi. Harapan saya agar kita ubah gaya hidup kita sedikit demi sedikit ke arah sustainability supaya kita lebih mahu memahami apa itu sustainability dan bagaimana ia membantu untuk kita meneruskan kehidupan? Life is beyond designer handbags and fancy lifestyle. –Gempak.com