Oleh Ayob Mamat - Penulis Residen
APABILA rakyat berada di dalam kesusahan, setiap inisiatif walau sekecil apa pun, ia adalah penting dan mempunyai nilai.
Justeru pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kelonggaran kepada rakyat berusia bawah 55 tahun untuk membuat pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah disambut dengan penuh gembira.
Rakyat sangat menghargainya.
Pun begitu, tidak kurang juga yang mempertikaikan inisiatif tersebut dengan pelbagai alasan dan hujjah – kebanyakkan mereka adalah golongan politik – tidak habis-habis.
Jika politik diambil sebagai asas penilaian, markah terhadap setiap inisiatif kerajaan berada pada nilai paling rendah – padahal, komitmen dan inisiatif yang diambil adalah merentasi warna dan batas politik itu sendiri.
Dalam keresahan dan ketidaktentuan rakyat ekoran wabak COVID-9, setiap usaha kerajaan wajar mendapat sokongan dan dokongan, bukan menghentam. Ini kerana, setiap keputusan kerajaan telah mengambil kira pelbagai sudut termasuk impak dan implikasi.
Mujur majoriti rakyat memahami bahawa inisiatif tersebut adalah langkah segera bagi meringankan beban mereka di saat yang begitu getir ini. Hakikatnya, kerajaan tidak memaksa.
Terserah kepada pemilik akaun KWSP untuk membuat pengeluaran atau sebaliknya, itu hak mereka.
Manakala bagi mereka yang tidak menjadi pencarum KWSP, Perdana Menteri telah memberitahu lebih awal mengenai pakej rangsangan ekonomi yang akan diumumkan pada hujung Mac nanti.
Beliau juga telah pun memberikan gambaran mengenai inisiatif yang akan diambil itu nanti dengan meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat dalam senarai paling atas.
Kerajaan sedang memperhalusinya dan rakyat diminta agar bersabar sedikit.
Yang tidak sabar adalah orang politik, mereka mengajak rakyat sentiasa berada di dalam polemik. Adalah sesuatu yang amat malang jika emosi rakyat ketika ini dijadikan pertaruhan demi kepentingan politik.
Di saat wabak COVID-19 kian menular, berita kematian akibatnya terus meningkat saban hari, apakah kita masih memikirkan untuk berpolitik.
Di negara ini, politik seperti menjadi “makanan” sesetengah orang, seolah-olah tanpa politik, mereka tidak mampu hidup. Parah!.
Sampai bilakah kita mesti begini?, berpolitik 24 jam.
Sewajarnya di saat ini, semua pihak perlu berganding bahu membantu kerajaan dan rakyat bagi menangani wabak yang semakin menular, manakala kehidupan rakyat kian terjejas.
Jika mahu menunding jari mencari kesalahan atas nama politik, ruang itu sentiasa terbuka luas dan semua orang mungkin ada salah.
Sedarlah, rakyat sudah mual dan muak dengan politik dan orang politik, apatah lagi dengan kehidupan mereka kini sedang diancam dengan pelbagai tekanan hidup akibat wabak yang telah meragut ribuan nyawa di seluruh dunia.
Jika tidak pun membantu kerajaan, berikanlah ruang kepadanya untuk melaksanakan pelbagai kaedah dan strategi bagi memastikan wabak COVI-19 segera hilang dari negara kita.
Tidak kuat lagi hati kita semua melihat statistik pesakit yang positif dijangkiti virus maut itu saban hari dengan jumlah kematian yang terus dicatat setiap hari.
Tidakkah kita tersentuh melihat betapa beratnya cabaran pasukan barisan hadapan seperti doktor, jururawat, pasukan polis, tentera dan lain-lainnya dalam berganding bahu menangani wabak ini.
Mereka kepenatan, bersedih dan emosi terganggu – namun demi nyawa kita semua dan rakyat, mereka gagahi jua dengan tanggungjawab mereka.
Tidak ada belas kasihankah kita kepada mereka?.
Cukup-cukuplah berpolitik. Hentikanlah segala sengketa. Ini waktu untuk kita semua berganding bahu, memerangani wabak penyakit berbahaya.
Dengan penuh insaf, segerakan “gencatan politik” demi rakyat dan negara tercinta ini. – Planetmahir
Video sekadar hiasan…