Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen
SEDAR tak sedar kita sudah pun memasuki minggu kedua Aidilftri, dalam suasana baharu dan kebiasaan baharu.
Bagaimanakah sambutan Aidilfitri anda tahun ini, meriah?. Setiap kali lebaran, hari kemenangan diraikan dengan sederhana, namun kekal dengan suasana yang meriah walaupun sedikit kekurangan.
Samalah dengan tahun ini walaupun ia sedikit berbeda.
Apatah lagi apabila kerajaan memberikan kelonggaran untuk menghadkan 20 orang tatamu atau ahli keluarga sahaja pada hari raya pertama dahulu – walaupun jumlah itu boleh dianggap sedikit, namun memadai ketika pandemik Covid-19 masih belum reda.
Kita mesti meletakkan soal keselamatan diri dan keluarga dalam senarai kepentingan paling atas. Itu paling utama.
Sudah tentu, lebaran kali ini mencatatkan sejarahnya yang tersendiri dengan satu kelainan yang tidak pernah terjangka oleh fikiran kita selama ini dan keadaan itu mungkin akan memakan masa yang agak lama sebelum kembali kepada kehidupan biasa. Itu tidak mustahil.
Apa pun, ambillah yang positif dan kebaikan di sebalik keadaan itu. Sebagaimana sepanjang bulan Ramadan, kita yang tidak pernah menjadi imam dilatih dan dididik menjadi imam, sekaligus rumah menjadi “masjid kecil” untuk kita meningkatkan amal ibadah selain mengeratkan hubungan kekeluargaan di bulan yang mulia itu.
Kita yang tidak pernah menjadi bilal, kali ini dilatih menjadi bilal. Dan, semua itu berlaku tanpa banyak masalah. Malah, hari demi sehari kebolehan kita semakin baik dan akhirnya menjadi satu kebiasaan. Bukankah itu indah. Sungguh menakjubkan.
Bagi yang sudah biasa menjadi imam dan bilal, itu bukan masalah.
Apabila menjelangnya Syawal baru-baru ini, ramai yang berdebar kerana dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih dikuatkuasakan pemerintah, kita masih perlu menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah.
Bermacam-macam bermain di fikiran. Bertakbir beramai-ramai di rumah, solat sunat Aidilfitri dan perlu pula berkhutbah.
Berbeda dengan solat Terawikh, solat sunat Aidilfitri memerlukan bacaan khutbah dan itu sangat menguji kebolehan kita sebagai ketua atau ahli keluarga.
Bukan semua orang mampu berkhutbah dan bukan semua orang tahan berdiri di hadapan orang, meski pun jumlah hanya beberapa orang. Apatah lagi mahu berkhutbah di hadapan anak-anak, adik-beradik dan sanak saudara.
Sekali lagi kita diuji – kebolehan, keberanian dan kemampuan. Ada yang terketar-tekar, berdebar dan terasa lain apabila mahu berhadapan dengan suasana itu.
Mungkin ada yang rasa nak terkencing apabila berdiri dan perlu menyampaikan ucapan atau khutbah. Itu biasa.
Maka apabila tiba saat 1 Syawal, kesemua kejadian itu pun berlaku. Dan terbuktilah keindahan Syawal pada tahun ini, dengan pelbagai ragam membaca khutbah Hari Raya.
Apa yang berlaku sungguh menakjubkan, semua orang mampu menjadi imam dan bilal di hari raya. Khutbah yang dibaca sangat lancar dan bersemangat, manakala doa-doa yang dibaca pula sungguh menyentuh nurani setiap yang mendengarnya.
Kita semua berkebolehan. Suasana PKPB ini telah memberikan ruang dan peluang kepada kita untuk menerima keadaan tersebut dan akhirnya kita berjaya melaluinya.
Bukan sahaja kita meraikan kemenangan di hari lebaran setelah sebulan menjalani ibadah puasa, kita juga sebenarnya menang dalam memenuhi tuntutan menjadi seorang imam dan bilal di rumah ketika pandemik PKPB.
Demikianlah kemeriahan dan kehebatan sambutan Aidilfitri kali ini. Ia di luar kehidupan biasa yang hanya berlaku kali ini. Sungguh indah.
Apa pun yang kita lalui ketika Syawal kali ini, ia merupakan satu kehidupan yang sarat dengan pendidikan, bukan sekadar satu ujian. Meski pun mungkin adanya rintangan pada awal-awal keadaan itu, namun kita sebenarnya semakin hampir kepada kebiasaan.
Walaupun terbatas, Aidilfitri tetap menjadi hari penting yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim dan persaudaraan sesama kita. Melalui teknologi media sosial misalnya, semuanya menjadi dekat. Tiada masalah.
Keadaan itu ternyata telah memecahkan tembok halangan yang mampu menyekat hubungan persaudaraan di kalangan kita di saat kehidupan kita hari ini semuanya dalam keadaan terbatas.
Paling menarik, meski pun Aidilfitri diraikan ketika PKPB masih berkuatkuasa, kita tidak pernah merasakan perayaan yang disambut kali ini sebagai janggal.
Malah dalam keadaan tertentu ia tetap meriah.
Walaupun banyak juga pihak yang cuba meramalkan kononnya jumlah jangkitan COVID-19 akan meningkat selepas sambutan Aidilfitri minggu lalu ekoran pergerakan orang awam yang bertambah, namun semua itu sehingga kini belum nampak tanda-tanda ia akan benar-benar menjadi kenyataan.
Selain kesedaran, penguatkuasaan peraturan serta undang-undang bagi menangani wabak tersebut oleh pihak berkuasa, itu sebenarnya sangat membantu mengekang penularan wabak berkenaan di musim perayaan.
Malah, kebanyakan rakyat kita juga kini dilihat semakin berdisiplin dalam menjalani kehidupan dengan dunia kebiasaan baharu serta sentiasa mematuhi Standard Operation Prosedur (SOP) yang ditetapkan.
Itu adalah bukti jelas kita sedang melalui proses kebiasaan dalam menghadapi kehidupan suasana baharu akibat ancaman COVID-19, dan ramai di kalangan kita yang semakin selesa dan biasa.
Justeru, sambutan Aidilfitri kali ini bukan dilihat sebagai “beban” akibat terpaksa mematuhi SOP yang ditetapkan, segalanya sudah tidak menjadi janggal lagi. Sudah biasa.
Apa pun, marilah kita mempelajari sesuatu di sebali setiap kejadian ini. Sesungguhnya setiap kejadian itu diatur oleh Allah dengan hikmahnya yang tersendiri.
Walaupun pergerakan kita terhad, kemeriahan menjadi sederhana dan kehidupan kita perlu diurus dengan cara yang baharu, hikmahnya ia mendidik kita untuk menjadi insan yang berdisiplin.
Kita juga diajak untuk berfikir dan menerima mengenai kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.
Selebihnya melalui keadaan hari ini, kita telah dididik untuk menjadi ketua dan ahli keluarga yang lebih bertanggungjawab dalam menunaikan kewajiban kepada Allah dan perkara-perkata yang di bawah kewajiban kita.
Rumah atau keluarga telah menjadi institusi yang sangat penting, bukan sahaja untuk meningkatkan amal dan ibadah tetapi juga memacu nilai persaudaraan yang lebih berbanding sebelum ini.
Demikian kehidupan dan hari raya kita semua pada tahun ini.
Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin. -planetmahir.com