Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen
BAGI kebanyakan orang, 23 April setiap tahun adalah sambutan Hari Buku Sedunia yang jarang diingati, kecuali di kalangan ulat buku yang gila membaca dan golongan penggemar buku.
Hari Buku Sedunia tidak disambut sebagaimana sebelum ini ekoran penularan wabak COVID-19 yang masih belum reda selain orang ramai masih terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa kerajaan.
Sudah tentu ia sedikit tenggelam.
Sudah tentu sambutan Hari Buku Sedunia sinonim dengan tabiat gemar membaca walaupun ada juga yang hanya gemar membeli buku, namun tidak suka membaca buku – sekadar menyimpan dan dijadikan koleksi. Ramai yang begitu.
Satu persoalan yang sering berlegar di fikiran apabila berbicara mengenai buku ialah, sejauh manakah tahap atau sikap suka membaca buku di kalangan masyarakat kita? Apakah, sama sebagaimana 20 tahun lalu, atau bagaimana?
Bagaimana pula dengan perkembangan industri penerbitan buku, atau orang ramai kini beralih kepada bahan bacaan digital yang kini sedang berkembang dengan pantasnya.
Selain mudah untuk diakses, bahan bacaan digital pula banyak yang disediakan secara percuma, sekaligus mempengaruhi trend dan budaya membeli buku di kalangan orang ramai.
Tahukah anda, sejak kebakangan ini dilaporkan beberapa kedai buku, termasuk yang berjenama terkenal telah terpaksa menutup operasi mereka di atas pelbagai faktor. Apakah yang dapat kita fikirkan mengenai senario tersebut?
Apakah yang bermain di fikiran?
Selain isu ekonomi seperti kadar sewa permis yang tinggi, kekurangan pelanggan juga sudah pasti menjadi penyumbang yang penting terhadap tindakan mereka menutup operasi.
Apakah, membaca buku secara manual tidak lagi relevan berbanding bahan bacaan secara dalam talian atau online sehingga pengunjung ke kedai buku kian menguncup.
Itu mungkin boleh menjadi sebahagian daripada penyebabnya, tetapi jika diteliti, bahan bacaan tradisional, masih digemari orang ramai.
Menurut data Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengenai peminjaman bahan bacaan pada 2018 misalnya, sebanyak 2,910,411 telah direkodkan, termasuk bahan perpustakaan fizikal, manakala 115,575 adalah naskah di dalam talian.
Ini membawa maksud purata 1,300 pembaca buku sehari dan 889 pengunjung bahan bacaan dalam talian.
Untuk rekod, PNM mempunyai lebih lima juta naskah buku, tidak termasuk bahan bacaan yang ada di 500 Perpustakaan Desa di seluruh negara.
Data itu memberi gambaran bahawa tabiat suka membaca, khususnya bahan bacaan berbentuk buku masih “wujud”, namun tempias daripada bahan bacaan secara dalam talian tetap berlaku.
Berbanding laporan Majlis Akademi Nasional kira-kira 20 tahun lalu yang mengejutkan iaitu rakyat Malaysia hanya membaca setengah halaman setahun, kajian terharu mendapati adalah sebaliknya.
Menurut laporan entrim tabiat membaca rakyat Malaysia yang dikeluarkan pada tahun 2014 mendapati, purata rakyat Malaysia hanya membaca hanya dua buah buku setahun.
Bagaimanapun jumlah itu terus meningkat kepada 15 buah buku setahun sekarang, manakala hasil kajian juga mendapati, rakyat kita meluangkan waktu sekitar tiga jam seminggu untuk membaca.
Hanya lapan peratus sahaja yang membaca lebih 14 jam seminggu.
Cuba anda bayangkan itu.
Hakikatnya, trend tersebut bolehlah dianggap sederhana, namun berasaskan kepada beberapa perkara, ia telah menunjukkan petanda positif.
Itu dari sudut mereka yang membaca buku, manakala daripada angka serta data tersebut, sudah tentu mempengaruhi industri penerbitan buku di negara ini.
Jika kurangnya pembaca, apakah industri penerbitan buku mampu berkembang. Itu soalnya.
Menulis buku dalam konteks Malaysia, tidaklah boleh menjadikan seorang penulis itu kaya, walaupun diakui ada yang mampu hidup mewah hasil daripada penulisan mereka.
Kalau di luar negara, manusia seperti novelis terkenal, JK Rowling yang mencatat perolehan sebanyak RM4 billion melalui karyanya yang terkenal termasuk Harry Potter, kita sebenarnya jauh ketinggalan – walaupun perbandingan tersebut adalah keterlaluan.
Di Malaysia, penerbitan 3,000 naskah buku misalnya mampu meraih royalti sebanyak sepuluh peratus, itu dilihat sudah memadai bagi penulis.
Maka tidak hairanlah, ramai yang menulis dan menerbitkan sendiri hasil karya mereka, itu mungkin dalam sesetengah keadaan, ia masih menguntungkan.
Harus diakui, ramai rakyat yang masih kurang membaca buku dan sudah tentu mereka menjadi kedekut untuk mengeluarkan sedikit belanja untuk membeli buku.
Paling ramai adalah mereka yang selalu inginkan buku percuma apabila cuba dijual oleh penulis buku sendiri – jika mahukan mereka pergi ke kedai buku, itu jauh sekali – jumlah mereka besar.
Jika kita masih terikat dengan tabiat dan budaya seperti itu, industri penerbitan buku pasti terjejas, apatah lagi dengan perkembangan dunia yang kini sudah “hilang sempadan”.
Sebenarnya industri buku di negara ini telah merosot sejak lebih lima tahun lalu, dan faktor-faktor seperti di atas adalah antara penyumbang yang utama – tabiat membaca masih nipis.
Lihat secara perbandingannya, nilai industri buku di Malaysia masih lagi jauh ketinggalan iaitu RM1.5 billion berbanding negara seperti Amerika Syarikat, China, United Kingdom masing-masing mencatatkan nilai industri buku sebanyak RM105 bilion.
Manakala Jepun pula mencatat nilai industri buku sebanyak RM30 billion.
Benar, mereka adalah negara maju tetapi kita sebagai negara sedang membangun tidak boleh memandang hal tersebut dengan sebelah mata. Ia berkaitan dengan tabiat atau karektor.
Membaca itu pasti membosankan bagi mereka tidak menggemari buku dan tidak menghargai buku.
Orang yang tabiat membacanya tebal, karektor mereka adalah berbeza. Cara berkata-kata atau berbicara juga tidak sama dengan orang biasa. Golongan ini akan bercakap dengan ilmu dan merumuskan sesuatu dengan hujah yang mereka yakin sebagai benar.
Membaca itu membentuk diri seseorang ke arah yang lebih baik, tidak kiralah di negara maju atau sedang membangun.
Masyarakat membaca pasti akan mampu membantu mencorakkan negaranya dengan lebih hebat dan cemerlang.
Dengan penerbitan sekitar 15,000 judul buku setahun, itu belum memadai untuk rakyat Malaysia yang penduduknya lebih 30 juta orang.
Jadilah mereka yang mencintai buku dan membaca buku. Anda mampu melakukan itu.
Selamat Hari Buku Sedunia. -Planetmahir.com