Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen
KECOH baru-baru ini, sebuah bot yang membawa beratus-ratus pelarian Rohingya yang cuba memasuki perairan Malaysia telah diusir pihak keselamatan negara.
Akibatnya, Malaysia telah menerima kecaman daripada beberapa pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut.
Pertubuhan Hak Asasi Manusia antarabangsa misalnya adalah antara paling lantang menyuarakan kekesalan insiden itu, selain beberapa pihak di dalam negara sendiri.
Persoalannya ialah, apakah kerajaan Malaysia sengaja melakukan hal sedemikian, di saat negara sedang berperang dengan penularan wabak COVID-19 yang kini telah meragut ratus ribu nyawa di seluruh dunia.
Adakah sekejam itu kerajaan Malaysia sehingga terpaksa mengambil satu keputusan yang drastik dengan “menolak” pendaratan pelarian etnik Rohingya tempoh hari?.
Apakah adil untuk memandang serong terhadap Malaysia hanya semata-mata insiden tersebut padahal Malaysia, sebagaimana negara-negara lain di dunia sedang bergelut dengan wabak COVID-19 pada ketika ini.
Adalah tidak munasabah untuk menggambarkan Malaysia sebagai negara sekejam itu tanpa melihat apakah yang telah dilakukan Malaysia terhadap pendatang asing atau pelarian.
Untuk rekod, sehingga September tahun lalu, sebanyak 177,943 Pendatang Tanpa Izin (PATI), pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) telah direkodkan di negara ini yang kesemuanya berasa dari 57 negara dengan Myammar mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 153,591 orang.
Ia diikuti Pakistan (6,495), Yamen (3,568) dan beberapa negara lain.
Nah, cuba bayangkan betapa sesaknya Malaysia dengan pendatang asing, itu belum termasuk mereka yang bukan pemegang kad UNHCR dan telah memasuki negara ini secara haram.
Malaysia secara komitmennya sentiasa berusaha sedaya upaya membantu golongan pendatang ini bagi melindungi mereka berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuklah menghantar mereka ke negara dunia ketiga bagi menjamin kehidupan dan masa depan mereka yang lebih terjamin.
Antara Januari hingga September tahun lalu misalnya, seramai 2,318 PATI pemegang kad UNHCR telah dihantar ke negara-negara dunia ketiga – antaranya, Amerika Syarikat, Norway, Australia, Jepun, Sweden dan United Kingdom.
Itu belum termasuk misi bantuan kemanusiaan yang dihantar kepada golongan etnik Rohingya di Myammar.
Beberapa tahun lalu misalnya, Malaysia adalah antara negara yang paling aktif menghulurkan bantuan kepada etnik Rohingya. Bukan sahaja dalam bentuk makanan dan keperluan lain, malah Malaysia turut menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan kepada etnik tersebut.
Melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Malaysia berjaya mewujudkan Hospital Medan Malaysia di wilayah Cox’s Bazar pada hujung 2017 selepas kebanjiran 700,000 pelarian Rohingya dari Myammar ke Bangladesh akibat tindakan tentera Myammar di utara wilayah Rakhine pada 25 Ogos 2017.
Demikian antara secebis kisah, sejarah dan peristiwa bagaimana prihatin dan ambil caknanya kerajaan Malaysia dalam membantu masyarakat antarabangsa yang memerlukan, khususnya di negara-negara berdekatan.
Jika hendak diungkit, banyak di kalangan PATI atau pelarian di negara yang ini yang gemar membuat onar dan berkelakuan seolah-olah tanah air orang Melayu ini adalah negara mereka.
Keadaan itu kadangkala mengguris hati rakyat di negara ini, tetapi mereka tetap kekal di sini. Demikian betapa bertolak ansurnya kita mengenai mereka.
Namun biarlah, itu kisah yang lain.
Hakikatnya Malaysia adalah antara negara yang sangat terbuka dalam menerima pelarian seperti Rohingya, namun dalam keadaan tertentu, Malaysia juga mempunyai hak untuk membuat sesuatu keputusan yang meletakkan kepentingan negaranya dalam senarai paling atas.
Isu pelarian Rohingya ini tidak pernah selesai disebabkan pihak yang berkuasa di peringkat antarabangsa, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak memandang serius mengenai konflik yang berlaku di Myanmar.
Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yusof Ali berkata, PBB perlu lebih serius dalam menangani isu pelarian etnik Rohingya tanpa meletakkan segala kesalahan di bahu kerajaan Malaysia berhubung perkara itu.
Beliau mendakwa, kini terdapat 1.5 juta etnik di Kem Tahanan Cox’s Bazar di Bangladesh yang menunggu masa untuk lari ke Malaysia.
“PBB harus menyelesaikan isu pertikaian rakyat Myammar dengan kerajaan junta Myammar bagi membolehkan pendudukan semula tnik Rohingya ke tanah asal mereka,” ujarnya.
Berdasarkan apa yang dicatatkan di atas sebagai satu angka dan contoh, apakah sesuai untuk Malaysia menerima kecaman disebabkan insiden “menolak” pelarian etnik Rohingya baru-baru.
Malaysia sebetulnya berada di dalam dilema dalam hal tersebut, namun sesuatu yang muktamad wajar diputuskan di saat-saat getir ini dengan memberi keutamaan terhadap kesihatan dan masa depan rakyat Malaysia sendiri.
Malaysia sebenarnya tidak mempunyai pilihan dalam menentukan tindakan tersebut kerana usaha memerangi wabak serius seperti COVID-19 adalah sesuatu yang sukar.
Dalam keadaan begitu pun, Malaysia bukan menolak pelarian tersebut dengan “tangan kosong”, malah pihak berkuasa Malaysia dilaporkan turut memberikan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada pelarian tersebut.
Itu sudah cukup mengambarkan nilai kemanusiaan masih diberikan keutamaan dalam keadaan getir ini dan berharap, usaha itu akan dapat membantu.
Bukan sahaja Malaysia, malah negara lain seperti Thailand juga dilaporkan melakukan hal yang sama atas asas untuk menjaga kepentingan negara di saat penularan COVID-19.
Justeru, cukuplah menangguk di air yang keruh dengan melihat insiden tersebut dari sudut yang tidak wajar atau negatif.
Setiap daripada kita mempunyai tanggungawab, negara kita juga pun begitu yang wajib memberikan keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya diberikan keutamaan.
Ingat, geraf jangkitan kes COVID-19 di negara kita kini semakin menurun dengan angka yang melegakan walaupun kita belum boleh berpuas hati.
Kita mesti bertindak untuk mengurangkan seminimum mungkin risiko jangkitan baharu COVID-19, dengan pelbagai tindakan dan keputusan yang dalam banyak keadaan adalah pahit.
Namun, kita tiada pilihan. Keputusan untuk “menolak” kemasukan pelarian pada waktu ini dibuat untuk kebaikan Malaysia, bukannya membenam kemanusiaan. -PlanetMahir