Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen
KETIKA Ramadan kini berada di minggu pertamanya, antara budaya orang kita yang paling dibanggakan adalah mereka gemar bersedekah. Saban hari kita melihat, sama ada di kaca TV mahupun media sosial, berduyun-duyun orang bersedekah, apatah lagi berkat berbuat demikian di bulan yang mulia ini amat disyorkan.
Berbanding dengan beberapa negara di dunia, kita di Malaysia sepatutnya lebih bersyukur dengan nikmat keamanan dan rezeki yang diberikan Allah. Meski pun ketika pandemik COVID-19 masih aktif, kita masih mampu hidup aman dan penuh dengan rezeki.
Walaupun mungkin ada yang terlepas pandang, namun di mana-mana orang yang susah terus diberikan bantuan dan perhatian – sama ada daripada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) atau pun orang perseorangan yang prihatin – semuanya atas niat untuk membantu meringankan beban.
Demikianlah istimewanya kita.
Pendek kata, masyarakat kita pantang mendengar adanya orang susah, pasti mereka akan bantu. Itulah yang dianjurkan.
“Sesungguhnya Allah itu Maha Memberi, ia mencintai kedermawanan serta akhlak yang mulia, ia membenci akhlak yang buruk (HR Al Baihaqi, disahihkan Al Albani dalam Shahirul Jami’ 1744)
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk saling membantu sesama kita, di mana pun mereka berada – termasuk adik beradik kita dan jiran tetangga.
Luangkanlah sedikit waktu untuk bertanya khabar dengan jiran tetangga agar kita tahu keadaan dan nasib mereka. Manalah tahu kalau mereka memerlukan bantuan dan kita pula terlepas pandang.
Di bulan Ramadan ini, marilah kita perbanyakkan aktiviti bersedekah untuk mereka yang memerlukan.
Cuma, ketika wabak COVID-19 masih beleluasa, maka semua pihak mesti mematuhi peraturan pihak berkuasa – jaga jarak sosial, sering menggunakan cecair pembasmi kuman dan pakai penutup hidung dan mulut.
Peraturan itu adalah untuk mendidik, bukan menghukum tetapi jika masih ada yang kekal berdegil, barulah mereka dihukum.
Bagaimanapun ada pihak yang kurang senang dengan budaya memberi sedekah, tetapi gemar menunjuk di laman sosial dan sebagainya. Mereka berhujjah, sedekah atau membantu tidak perlu menunjuk-nunjuk. Diam-diam sahaja, kata mereka.
Ia mencetuskan polemik yang tidak pendek, sehingga ia menarik khalayak untuk membicarakannya dengan pelbagai pendapat dan pandangan.
Terpulanglah kepada persepsi masing-masing tetapi saya lebih cenderung untuk mempercayai bahawa, ia tertakluk kepada niat. Saya berpendapat jika niat kita betul, itu tidak salah.
Cuma kita mesti menjauhkan diri dari sifat hasad dengki terhadap sikap pemurah orang lain, padahal kita yang berkata itu pun tidak melakukan apa-apa, yakni sedekah atau membantu orang susah.
“Tidak boleh hasad kecuali pada dua orang; seorang yang diberikan harta oleh Allah, kemudian ia belanjakan di jalan yang haq, dan seorang yang diberikan Allah ilmu dan ia mengamalkanya dan mengajarkannya (HR Al Bukhari 73, Muslim 816)
Ketika kita sedang berada di era globalisasi yang pesat dan perkembangan teknologi maklumat (IT) membubarkan sempadan kehidupan, adalah lebih afdal kita berbaik sangka dengan aktiviti memberi sumbangan atau sedekah yang diberi tetapi diwar-warkan.
Cara berfikir kita harus berubah, bukan sahaja sesuai dengan ilmu tetapi juga hakikat bahawa cabang dakwah itu adalah pelbagai.
Memaparkan aktiviti memberi bantuan jika mempunyai niat untuk berdakwah agar memberikan galakan kepada orang lain untuk turut serta berbuat demikian, itu adalah mulia.
Apatah lagi, cerita-cerita sedemikian boleh memberi keinsafan kepada kita betapa perlunya kita membantu golongan memerlukan dan memupuk sifat suka bersedekah di kalangan kita.
Adalah sesuatu yang sangat tidak adil untuk menghukum seseorang dalam soal niat, tiada siapa pun mengetahui mengenainya selain Allah.
Bukankah Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda bahawa kami berhukum dengan apa yang zahir sahaja dan Allah jualah yang lebih mengetahui apa yang tersembunyi (dalam hati).
Maksudnya, bukan menjadi hak manusia untuk menilai hati manusia yang lain kerana perkara sedemikian adalah hak mutlak Allah SWT.
Apa yang mendukacitakan, sudahlah kita tidak bersedekah dan tidak membantu, hanya memandang sebelah mata dengan kesusahan masyarakat, termasuk tetangga kita misalnya, tetapi apabila ada orang lain yang membantu, kita pula berpandangan serong. Apakah patut?.
Sepatutnya kita berbangga apabila ada golongan berada yang gemar bersedekah, malah dengan jumlah yang besar untuk membantu masyarakat yang memerlukan. Itu bukan senang hendak kita temui.
Keadaan itu sepatutnya menjadi galakkan kepada kita untuk menjadi seorang yang pemurah dan sering bersedekah.
Sebenarnya bukan mudah untuk orang bersedekah jika mereka tidak benar-benar memahami dan yakin mengenai hikmah perbuatannya itu.
Yang sering ada di kalangan manusia adalah sifat kikir dan kedekut untuk bersedekah kerana mereka adalah golongan yang sayangkan dunia melebihi mencari saham untuk bejalan akhirat.
Berbalik kepada hal bersedekah tadi. Apa yang penting di sini ialah, bagaimana cara kita berfikir dan menilai setiap sesuatu.
Jika kita seorang yang berfikiran negatif, segelas air suam atau panas pun, mereka akan melihatnya seperti racun.
Bagaimanapun bagi seorang yang positif, mereka sentiasa melihat sesuatu di sebalik menafaatnya dengan kebaikan dan kasih sayang. Ya, orang positif, apabila dia melihat kekurangan, dia menegur tetapi tidak bagi yang negatif, mereka lebih gemar mengecam dan menghentam.
Orang yang positif tidak peduli apa yang hendak dikatakan atau digambarkan orang, mereka kekal dengan kebaikan, manakala bagi yang berfikiran negative, mereka tidak akan merasa puas selagi mereka tidak mencemarkan kebaikan dengan sifat negatif itu.
Begitu juga dengan hal bersedekah, seorang yang positif akan menerima dengan baik dan sempurna ke akal mereka, manakala orang negatif akan terlihat sifat serba tidak kena pada kata-kata dan sifatnya.
Kita di pihak yang mana? … Tanya je. -Planetmahir.com