Waktunya Utamakan Pekerja Tempatan

Oleh Ayob Mamat

KETIKA iklim politik negara masih belum reda dan ancaman pandemik COVID-19 masih belum berakhir, antara hal yang menjadi isu penting ketika ini ialah, pengangguran atau kehilangan pekerjaan.

Bagi orang politik, isu itu jarang diperjuangkan ketika ini walhal ia adalah satu bencana yang mampu memberikan tekanan hidup yang teruk kepada rakyat.

Walaupun pengangguran adalah isu yang sentiasa wujud, namun akibat penularan COVID-19 bermula awal tahun ini ternyata membawa kesan buruk terhadap sektor pekerjaan di seluruh dunia.

Jutaan orang telah secara tiba-tiba kehilangan pekerjaan di seluruh dunia disebabkan iklim ekonomi yang merudum akibat COVID-19, termasuk di negara-negara maju.

Kita di Malaysia, masalah yang sama turut kita hadapi.

Menurut Jabatan Perangkaan Negara (JPN), kadar pengangguran di negara ini dianjurkan diunjurkan pada kadar 5.5 peratus akibat COVID-19. Ia merupakan kadat tertinggi pernah dicatatkan di negara ini sejak tahun 1989 yang mencatakan unjuran 5.7 peratus.

Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan baru-baru ini telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Pelbagai sektor terjejas, itulah hakikatnya.

Pandemik COVID-19 benar-benar telah menjahanamkan ekonomi dan membawa kesengsaraan kepada banyak orang sehingga kini mereka terpaksa menjalani kehidupan dalam dunia kebiasaan baharu.

Bagi meneruskan kesinambungan hidup, ramai di kalangan kita yang sanggup melakukan apa jua kerja bagi menyara kehidupan yang semakin terhimpit.

Ada yang menjadi pemandu grab, menjual nasi lemak, berniaga online dan ada juga yang bekerja sebagai penghantar makanan.

Pendek kata, semua kerja mereka lakukan demi mencari rezeki halal untuk menyara kehidupan.

Nah, siapakah yang berani menyatakan masyarakat kita memilih pekerjaan. Bagi saya, itu tidak benar.

Berasaskan kepada keadaan tersebut, banyak pihak kini menggesa kerajaan agar mengkaji semula kebergantungan tenaga kerja negara kepada pendatang asing.

Walaupun banyak pihak yang mendakwa kononnya rakyat tempatan kurang berminat untuk bekerja dalam sektor yang diceburi pendatang asing, namun apakah peluang itu sudah benar-benar diberikan kepada penduduk tempatan.

Sekali lagi, saya tidak yakin hujah berkenaan adalah benar.

Menurut rekod, kini terdapat 2.3 juta pendatang asing yang bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini – satu jumlah yang sangat ramai sebenarnya.

Itu tidak termasuk mereka yang datang ke negara ini secara haram dan bekerja.

Tidak cukup dengan itu, khabarnya ada pihak yang cuba mencadangkan agar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan agar diberikan peluang untuk bekerja dalam sektor-sektor yang memerlukan.

Di manakah rasionalnya cadangan tersebut, tidaklah difahami. Ini kerana, PATI adalah golongan yang berkait dengan pelanggaran undang-undang.

Sebenarnya kemasukan begitu ramai pendatang asing di negara ini, sama ada secara sah atau sebaliknya tidaklah membawa banyak kebaikan negara.

Sebaliknya, dari satu sudut, ia boleh membawa kesan negatif terhadap kehidupan dan sosial masyarakat tempatan dan itu telah terbukti melalui pelbagai kejadian negatif yang dilaporkan sebelum ini.

Khabarnya juga, pandemik COVID-19 turut membawa kesan terhadap pekerja asing yang berada di negara ini setelah kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru yang menyebabkan mereka juga hilang punca pendapatan.

Dikatakan, ada juga di kalangan mereka yang ingin pulang ke negara asal akibat masalah tersebut di negara ini. Keadaan itu juga bakal membawa impak terhadap sektor-sektor berkaitan seperti pembuatan, perladangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

Justeru, bagi mengekang atau mengelak pekerja asing ini pulang, ada majikan dikatakan menawarkan inisiatif tambahan kepada pekerjaan berkenaan.

Persoalannya, mengapakah majikan di negara ini begitu berat hati untuk mengambil pekerja tempatan untuk bekerja dengan mereka. Sudah sampai masanya, kita perlu berubah dan memberikan keutamaan kepada anak tempatan bagi mengisi kekosongan yang ada.

Jika hendak dikatakan membayar gaji pendatang asing itu dengan kadar murah, tidaklah juga.

Isunya, bukan anak tempatan memilih kerja tetapi mereka tidak diberikan peluang dan ruang untuk bekerja di dalam sektor-sektor berkaitan. Majikan di negara ini tidak harus melihat kebergantungan terhadap tenaga kerja asing adalah segala-galanya tetapi pada waktu yang sama gagal melihat begitu ramai anak tempatan masih memerlukan pekerjaan.

Justeru, langkah kerajaan membekukan sementara pengambilan tenaga kerja asing adalah sesuatu yang sangat tepat. Malah, kita amat bersetuju agar majikan melakukan sesuatu bagai menarik pekerja tempatan bekerja dengan mereka.

Antaranya, menaikkan tawaran gaji.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengesyorkan gaji bulanan di bandar besar ditetapkan pada kadar RM2,700 sebulan bagi menarik perhatian rakyat tempatan menceburi sektor pekerjaan yang sering didominasi warga asing.

Setiausaha Agungnya, J Solomon, berkata ia bagi memastikan tidak berlaku kekurangan tenaga kerja dalam sektor berkenaan susulan pendirian kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing.

Apa pun senarionya atau pandangan pelbagai pihak mengenai isu yang kita bincangkan ini, keutamaan kini harus diberikan kepada anak tempatan bagi mengisi kekosongan kerja.

Inilah waktunya!

Bagi kerajaan, mereka telah melakukan yang terbaik dalam membantu meringankan beban rakyat serta membantu menyelesaikan tekanan rakyat dalam menghadapi COVID-19.

Bantuan Prihatin Nasional (BPN) misalnya adalah satu inisiatif kerajaan dalam meeringkan beban rakyat ketika negara terpaksa mengenap PKP bagi mengekang penularan COVID-19.

Selain itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Ia menerusi langkah menangani pengangguran dan melindungi pendapatan rakyat yang terjejas oleh penularan COVID-19, demikian kata penganalisis.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed dipetik media sebagai berkata pelan pemulihan yang diumumkan itu mampu memberi rangsangan kepada penggunaan domestik, yang mana ia penting untuk usaha pemulihan ekonomi di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

Beliau berkata, insentif yang diumumkan dilihat mampu meningkatkan keyakinan pengguna dan penggunaan, sekali gus meletakkan ekonomi negara ini berada dalam landasan untuk pulih.

Katanya, suntikan langsung RM10 bilion oleh kerajaan juga dilihat mampu mewujudkan momentum pemulihan dalam jangka pendek dan memastikan permintaan agregat kukuh.

Kita berharap bantuan atau suntikan dana oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara akan juga membawa perubahan dalam soal pengambilan pekerja oleh majikan di negara ini.

Harus mengutamakan dan memberi peluang kepada pekerja tempatan, itu asasnya. – Planetmahir.com

Kategori Lain