Undang-Undang Khas Ekonomi Gig Perlu Ambil Kira Kepentingan Semua

Oleh DATO’ DR AHMAD RAMZI MOHAMAD ZUBIR

AKIBAT daripada beberapa isu kebelakangan ini yang melibatkan majikan dan pekerja gig, kerajaan nekad untuk memperkenalkan undang-undang khusus untuk industri ekonomi gig.

Langkah pertama yang diambil adalah dengan menubuhkan jawatankuasa mengkaji cadangan undang-undang tersebut.

Sebarang usaha untuk meregulasi industri ekonomi gig adalah disambut baik agar semua pihak dilindungi dan boleh bekerja dan beroperasi dalam keadaan yang harmoni.

Namun, adalah baik untuk kita melihat pengalaman negara lain dalam menggubal dan melaksanakan undang-undang sedemikian.

Antara negara yang telah melaksanakan undang-undang khas gig ekonomi ini adalah United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan Negeri California, Amerika Syarikat, tempat lahirnya ekonomi gig.

California memperkenalkan undang-undang yang dipanggil AB5 pada September lepas yang antara lain melindungi pekerja gig melalui pengenalan upah minimum (AS$12 sejam) selain daripada faedah-faedah lain seperti bayaran pampasan, perlindungan kesihatan, cuti sakit dan lain-lain.

Mereka juga memperkenalkan ‘ABC Test’, satu ‘ujian’ yang bertujuan mengenalpasti sama ada pekerja tersebut termasuk di dalam kategori pekerja tetap sesuatu syarikat atau pekerja gig.

Antara lain ujian tersebut menentukan sama ada pekerja berkenaan bebas daripada kawalan syarikat, sama ada pekerja tersebut melakukan tugasan yang bukan menjadi ‘core business’ syarikat tersebut, dan sama ada pekerja tersebut mempunyai perniagaan sendiri atau tidak.

Undang-undang tersebut juga menghadkan jumlah karya yang boleh dihasilkan oleh wartawan, jurugambar dan penulis gig sebanyak 35 karya setahun sahaja.

Selain daripada wartawan, penulis dan jurugambar, manicurists, penari, pelayan bar dan pemandu penghantaran juga termasuk dalam pekerjaan yang diregulasi di dalam undang-undang ini, sementara doktor, peguam, doktor gigi, ejen hartanah termasuk dalam 50 pekerjaan yang dikecualikan.

Pelaksanaan undang-undang baharu ini telah mendapat tentangan dan mengundang kemarahan, bukan sahaja syarikat-syarikat gig, tetapi juga para pekerja.

Terdapat lebih sejuta pekerja gig di California. Syarikat mendakwa kos mereka meningkat sebanyak 30 peratus dan kos ini akhirnya akan dibebankan kepada pengguna.

Kerajaan juga telah disaman oleh Persatuan Pemandu-pemandu Lori yang mempunyai 70,000 ahli yang menentang pelaksanaan undang-undang tersebut.

Bagi syarikat-syarikat gig, undang-undang baharu ini menjadi suatu mimpi ngeri kepada mereka, sementara para pekerja gig pula beranggapan ia mengancam kebebasan mereka.

Para pemandu Uber, Lyft dan Doordash menentang pengenalan undang-undang baharu ini.

Syarikat-syarikat media dan penerbitan pula mengelak daripada mengambil pekerja gig dari California.

Undang-undang ini juga dilihat sebagai ancaman kepada para pemilik perniagaan kecil.


Di United Kingdom (UK), kerajaannya lebih selesa untuk memperkenalkan pindaan terhadap Undang-undang Pekerjaan sedia ada.

Antara pindaan baharu yang dimasukkan ialah majikan perlu memberitahu pekerja tentang hak-hak mereka pada hari pertama mereka diambil bekerja, termasuklah tentang cuti bergaji dan cuti sakit.

Pekerja juga berhak untuk memohon jam bekerja yang lebih predictable, sementara gaji untuk bercuti (holiday pay) dikira berdasarkan 52 minggu kerja.

Kesan daripada pengenalan undang-undang baru ini menyaksikan Uber kalah di Mahkamah Rayuan UK apabila ia gagal membuktikan bahawa para pemandunya adalah bukan pekerja tetap syarikat tersebut.

Kesatuan Eropah (EU) juga telah memperkenalkan undang-undang gig ekonomi mereka sendiri.

Antara kandungan undang-undang tersebut ialah pengenalan hak-hak minimum dan lebih keterbukaan kepada para pekerja.

Undang-undang berkenaan menjamin jam bekerja yang lebih predictable, pampasan terhadap kerja yang dibatalkan dan penghapusan ‘amalan-amalan yang tidak adil’ kepada pekerja.

Para majikan diwajibkan untuk menerangkan kepada para pekerja deskripsi tugas mereka, tarikh mula kerja dan informasi tentang upah, indikasi tentang hari bekerja dan jam bekerja mereka, hak untuk mendapat pampasan terhadap kerja yang dibatalkan dan membenarkan pekerja melakukan kerja-kerja lain.

Pekerja juga berhak untuk mendapat satu tempoh percubaan sahaja iaitu selama enam bulan.

Mereka yang bekerja sekurang-kurangnya tiga jam seminggu, tidak melebihi empat minggu adalah termasuk di dalam kategori pekerja gig yang dikawal oleh undang-undang tersebut.

Dianggarkan seramai tiga juta orang pekerja akan terjejas dengan pengenalan undang-undang baru ini.

Kita bertuah kerana berpeluang mempelajari dan mengambil panduan daripada pengalaman negara lain dalam menggubal undang-undang gig ekonomi.

Sebarang undang-undang atau peraturan yang ingin diperkenalkan harus mengambilkira kepentingan semua pihak – kerajaan, majikan, pekerja dan rakyat sebagai pengguna.

Kita tidak mahu kesan-kesan negatif yang terjadi di negara lain berlaku di Malaysia.

Bagi para pekerja gig, mereka ingin kebebasan yang mereka kecapi sekarang kekal, sementara bagi syarikat-syarikat, pemain-pemain industri pula, mereka akan ‘bungkus’ jika kos meningkat gila-gila.

Rakyat pula akan marah jika peningkatan kos tersebut dibebankan kepada mereka.

Bagi sesebuah kerajaan pula, mereka perlu menjaga keharmonian industri dan kelestarian ekonomi negara pada masa yang sama menjana pendapatan melalui mekanisme percukaian.

Kategori Lain