Tanpa Guru, Siapalah Kita

Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen

SETIAP kali datangnya 16 Mei saban tahun, boleh dikatakan semua di kalangan kita akan meraikan sambutan Hari Guru – satu hari yang penuh makna dan sarat dengan nostalgia dalam kehidupan setiap orang.

Sama ada kita seorang pemimpin negara, pegawai tinggi kerajaan, pegawai polis, orang berada atau tidak, buruh dan sesiapa sahaja, kesemuanya mempunyai guru ketika menuntut di sekolah.

Kerana guru, sekurang-kurangnya kita mampu membaca dan menulis.

Tanpa seorang guru, bagaimakah agaknya wajah masa depan kita dan jika bukan kerana guru, kita tidak mungkin berada di dalam kejayaan sebagaimana hari ini. Siapa pun anda, kita adalah insan yang bertuah.

Masihkah anda ingat bagaimana setiap kali 16 Mei diraikan di sekolah anda. Jika saya, ia sungguh sederhana namun meninggalkan sejarah yang berbekas dalam.

Di hari tersebut, guru kelas saya akan “belanja” aiskrim dengan seketul roti  yang diberikan kepada setiap orang murid yang ada di kelas dan kami menikmati “hadiah” istimewa itu dengan sangat gembira.

Apatah lagi Hari Guru adalah hari kami tidak ada kelas atau tidak belajar, maka “merdekalah” sementara kami di waktu itu.

Ketika itu, di hujung tahun 70-an, budaya memberikan hadiah kepada guru belum lagi rancak sebagaimana sekarang, namun sambutan Hari Guru yang kami raikan kekal meriah. Syukur.

Lain zaman, lain tempat dan lain orang – maka lainlah cara sambutan Hari Guru mengikut era atau zaman masing-masing – apa pun, kita tetap meraikan hari yang sama iaitu Hari Guru.

Ketika di bangku sekolah, kita tidak faham apa erti dicubit telinga, mengapa kita didenda berjalan itik atau berdiri di atas kerusi atau meja. Ada juga digunting rambutnya sehingga “sepeng” (Dialek Terengganu yang membawa maksud rosak bentuk rambut).

Malunya tidak terkira, rasa marah terhadap guru panas membara dan lebih buruk lagi, ada yang berani dan tergamak melawan guru.

Itu kisah dulu!

Sejujurnya, ramai juga di kalangan kita kurang menghargai guru ketika di bangku sekolah. Maklumlah, anak mentah yang berlagak dewasa walaupun pendidikan tidaklah seberapa.

Bagaimanapun bagi guru, mereka tidak membezakan antara murid yang menghormatinya ataupun tidak. Semua murid diajar ilmu yang sama dengan cara yang sama serta perhatian yang sama.

Namun apabila kita mula meniti usia remaja dan dewasa, sehinggalah berumahtangga serta mempunyai keluarga sendiri, baharulah kita memahami apa erti hukuman yang dikenakan ke atas kita dahulu ketika di bangku sekolah.

Baharulah kita sedar, mengapa guru selalu marahkan kita setiap kali kita melakukan kesalahan. Semua itu dilakukan untuk mendidik dan menjadikan kita insan yang berguna. Tidak ada seorang guru pun yang mahu melihat anak muridnya menjadi seorang yang gagal dan jika ada yang gagal pun, memang sudah takdirnya begitu.

Baharulah kita sedar betapa pentingnya menghormati guru, betapa perlunya mendidik anak-anak kita agar berterima kasih dan sentiasa menghargai guru.

Seorang guru itu tidak pernah berdukacita dalam membimbing muridnya, walaupun kadangkala kenakalan murid yang ditatang bagaikan anak sendiri sering juga mengundang sedihnya.

Di hati kecil seorang guru, tidak mengapalah. Demi mendidik anak bangsa untuk masa depan yang cemerlang dan berguna, guru tidak pernah meletak di fikiran perkara yang menyedihkan mereka.

Kini zaman sudah berubah, sangat jauh berbeza jika dibandingkan dahulu. Bukan sahaja perubahan suasana tetapi juga guru terpaksa berhadapan dengan cara berfikir masyarakat yang jauh berbeza berbanding dahulu.

Contohnya, jika dahulu apabila guru memarahi murid atau memukul sedikit sebagai pengajaran, jika murid berkenaan mengadu kepada ibu bapa, maka ibu bapa akan memihak kepada guru.

Berbeza di zaman sekarang, segelintir ibu bapa akan mudah sensitif apabila anak mereka “disentuh”, malah ada yang datang ke sekolah memarahi guru dan ada pula yang menyaman guru.

Inilah antara cabaran-cabaran guru di zaman sekarang dan sudah tentu, ia bukan mudah untuk dilalui oleh golongan guru.

Bagaimanapun kita bersyukur, masih ramai yang menghargai guru dan tahu berterima kasih kepada guru.

Ini dapat dilihat melalui budaya memberi hadiah kepada guru sempena hari guru, manakala murid dan pelajar pula berlumba-lumba untuk memberikan ucapan untuk guru kesayangan mereka.

Budaya seumpama ini wajar terus disegarkan oleh golongan pelajar kerana kasih sayang sedemikian akan menyebabkan hubungan mereka dengan guru tidak akan terputus  walaupun setelah mereka tamat persekolahan.

Sedikit latar belakang mengenai data yang berkaitan guru, sehingga tahun lalu, terdapat 7,772 buah sekolah rendah dan 2,436 buah sekolah menengah di seluruh negara.

Ia melibatkan murid sekolah rendah seramai 2,727,068 orang dan 2,007,692 orang pelajar sekolah menengah – tidak termasuk 205,199 murid pra sekolah.

Manakala jumlah guru pula adalah seramai 182,587 orang bagi sekolah rendah dan 237,317 bagi sekolah menengah, menjadikan kesemuanya sebanyak 419,904 orang.

Cuba anda bayangkan bagaimana beban guru dalam mendidik anak bangsa di negara kita ini. Sungguh menakjubkan.

Maka sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu” adalah selari dengan tanggungjawab dan peranan guru dalam membina jati diri rakyat demi masa depan negara.

Negara ini wajib diwarisi kepada mereka yang hebat dan berpendidikan tinggi dan semua itu akan dapat dilahirkan melalui pendidikan awal di sekolah yang diasaskan oleh guru.

Demikianlah besarnya jasa dan sumbangan guru kepada kita, masa depan kita dan negara tercinta ini.

Guru, sekali mereka menjadi guru, selama hayatnya akan dipanggil cikgu.

Cikgu, selamat hari guru!

Kategori Lain