Tanpa Bazar Ramadan, Pembaziran Makanan Dielakkan

Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen

SEDAR tak sedar, kita sudah pun memasuki fasa sepuluh hari kedua di bulan Ramadan. Bagaimanakah perjalanan ibadah puasa anda? Apakah biasa-biasa sahaja, atau anda masih lebih tenang berpuasa di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini dilonggarkan sedikit oleh kerajaan.

Menghampiri tempoh dua minggu ibadah puasa ini, hakikatnya kita kekal menjalaninya tanpa bazar Ramadan sebagaimana kebiasaannya. Tidak mengapa, kerana kita kan sedang berada di era kebiasaan baharu.

Semuanya gara-gara serangan virus COVID-19 yang kita masih belum reda. Bertabahlah semua.

Satu hal yang wajar dilihat positif oleh kita di sebalik kebiasaan baharu yang “mentiadakan bazar Ramadan” ialah, ia mendidik kita untuk menjadi seorang yang menjauhi tabiat membazir.

Umum menyedari bahawa setiap kali datangnya Ramadan, nafsu membeli juadah berbuka jauh lebih membuak berbanding apa yang sebenarnya dimakan ketika waktu berbuka puasa.

Kita selalu menyebut, jika melihat apa pun makanan di siang hari, semuanya mahu dibeli – ya, itu nafsu.

Bazar Ramadan sebenarnya sangat sinonim dengan masyarakat kita sehingga ketiadaannya pada tahun ini menyebabkan suasana ibadah puasa dilihat “sedikit janggal” – seperti tidak meriah, ada kekurangan.

Bagaimanapun setelah hampir dua minggu ini, kita wajar akui bahawa kita telah berjaya menjadi seorang yang menjauhi amalan pembaziran.

Tanpa sedar kita dididik untuk menjadi orang yang tidak lagi berbelanja besar di bazar Ramadan dan ia sebenarnya sungguh menjimatkan.

Ia juga jelas mendidik kita untuk bersederhana dalam semua hal termasuk makanan, kehidupan seharian dan lain-lain.

Pernahkah anda terfikir selama ini, Ramadan sebenarnya menyimpan seribu cerita menyedihkan di sebaliknya – angkara sifat tamak dan gemar melayan nasfu membeli makanan secara melampau – kita tidak sedar bahawa kita menjadi seorang pembazir.

Mengikut kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Malaysia didapati membuang 15,000 metrik tan makanan sehari dengan 3,000 metrik tan daripadanya adalah makanan yang masih boleh dimakan.

Dan, jumlah itu dikatakan meningkat sebanyak 15 hingga 20 peratus setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Sementara itu, melalui kempen Mysavefood@Ramadan yang dilaksanakan sejak 2016 mendapati Bazar Ramadan bersaiz besar dengan kapisiti 200 hingga 300 buah gerai telah menyumbang kepada pembaziran makanan sebanyak 200 kilogram sehari.

Mananakala bagi Bazar Ramadan yang bersaiz sederhana pula menyumbang pembaziran makanan antara 80 hingga 100 kilogram sehari.

Dengan data-data tersebut, mampukah anda bayangkan betapa banyaknya makanan yang dibazirkan melalui Bazar Ramadan, tidak termasuk apa yang kita bazirkan di rumah atau membeli di gerai-gerai biasa.

Mampukah anda bayangkan sebanyak manakah makanan yang dibazirkan itu saban hari, sedangkan di kalangan kita masih banyak yang memerlukan makanan.

Dan, satu hal penting untuk anda ketahui, apabila tiadanya bazar Ramadan tahun ini ialah, berapa banyakkah makanan yang berjaya diselamatkan daripada pembaziran setiap hari.

Anda ingin gambarkan dan bayangkan, silakan.

Situasi tersebut juga turut menggambarkan negara atau masyarakat kita sangat mewah dengan makanan sehingga sebanyak itu tergamak kita bazirkan sebelum ini.

Anda tahu, kerajaan pula membelanjankan sebanyak RM2 billion setahun pada 2017 untuk pengurusan sisa pepejal sahaja dan jumlah itu pasti meningkat pada tahun-tahun berikutnya.

Sebenarnya, anda tidak akan terasa apa-apa apabila menjadi pembazir makanan sehinggalah anda kehilangan kemampuan untuk merasai nikmatnya merasai makanan.

Menurut statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO), lebih 21,000 orang meninggal dunia setiap hari akibat kebuluran dan kelaparan di seluruh dunia.

Manakala sebanyak 795 juta orang atau 10 peratus daripada penduduk dunia dikatakan berhadapan dengan masalah kekurangan zat makanan.

Lihatlah statistik berkenaan dengan penuh rasa insaf bahawa pembaziran adalah sesuatu yang sangat keterlaluan sedangkan masih ramai yang memerlukan makanan dan ada yang mati akibat kelaparan.

Menurut ahli akademik, Prof Madya Dr Ahmad Zubir Ibrahim, walaupun Malaysia tiada masalah kebuluran, kelaparan tersembunyi wujud tanpa disedari.

Dianggarkan 63.1 peratus dan 33.6 peratus golongan B40 (golongan berpendapatan rendah) berada di bandar dan luar bandar.

Sesungguhnya, itulah antara ilmu yang harus kita pelajari di sepanjang Ramadan yang disambut dalam keadaan serba sederhana dan serba tidak ada sebagaimana biasa.

Apa yang berlaku ini turut memberikan kita hikmah mengenai tabiat buruk kita selama ini yang gemar membazir.

Jelas sekali, tanpa bazar Ramadan yang sebelum ini begitu didombakan seolah-olah tidak lengkap Ramadan tanpa bazar Ranadan telah memberikan kelebihan yang besar untuk kita semua.

Bukan sahaja untuk memahami matlamat larangan diadakan bazar Ramadan akibat ancaman COVID-19, tetapi juga memberikan kesedaran kepada kita betapa setiap kali tibanya Ramadan, kita banyak membazir.

Hari ini kita telah hidup dengan suasana kebiasaan baharu yang semakin hari, kita semakin menjadi biasa dengannya. Ia bukan sahaja mengajar kita erti mendisiplinkan diri dalam soal pergerakan tetapi juga mengenai sikap mengawal nafsu makan dan menyediakan makanan di bulan Ramadan.

Sudah pasti Ramadan kali ini banyak perbezaannya berbanding sebelum ini dan ada baiknya tabiat yang baik ini kita kekalkan pada hari-hari yang seterusnya.

Bukan PKP, tetapi tabiat tidak suka membazir haruslah menjadi sebahagian daripada hidup kita selepas ini.

Jadikan itu sebagai pasti! – Planetmahir.com

Kategori Lain