Ramadan Dalam Dunia Baharu, Kebiasaan Baharu

BAGAIMANAKAH dengan ibadah puasa anda dalam “dunia baharu” yang memasuki hari kedua hari ini (25/4). Adakah ia mengurangkan suasana menjalani ibadah puasa anda, atau pun anda seronok mengisi suasana baharu di bulan penuh barokah ini.

Beberapa minggu lalu, ramai memberikan bayangan seolah-olah kemeriahan Ramadan bakal terjejas hanya gara-gara kerajaan tidak membenarkan Bazar Ramadan dibuka disebabkan masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akibat penularan wabak COVID-19.

Ada juga yang merungut kerana tidak lagi dapat menunaikan solat terawikh di masjid atau surau, manakala sebahagian lagi cuba membayangkan suasana hari raya yang bakal disambut nanti dengan suasana suram – padahal, baru dua hari berpuasa.

Apa pun tanggapan atau bayangan, kita telah memasuki hari kedua ibadah puasa dengan lancar tanpa sebarang masalah walau sedikit pun. Malah, ia sesuatu yang di luar jangkaan sebenarnya.

Walaupun tanpa bazar Ramadan, juadah berbuka puasa kekal bertimbun di atas meja makan, manakala jiran tetangga tidak mahu melepaskan peluang menghadiahkan kuih muih masakan mereka.

Di bulan yang mulia ini, ramai orang sudah bertukar minat kepada gemar memasak. Semua orang berlumba-lumba memasak. Di Facebook atau Instagram misalnya, semakin banyak foto-foto juadah yang dimasak dipamerkan, manakala lagak tukang masak juga begitu meriah mewarnai posting-posting.

Kebanyakan di kalangan mereka berlumba-lumba ingin menunjukkan kepakaran memasak dan menyediakan juadah berbuka – semuanya enak-enak.

Selain itu, jualan makanan atau juadah berbuka puasa secara dalam talian masih dibenarkan dan kita, pada bila-bila masa boleh memesan makanan kesukaan masing-masing untuk dihantar ke depan rumah anda.

Opss, jualan ini hanya untuk waktu berbuka puasa di petang hari sahaja ya, bukan di siang hari. Harap maklum.

Ini satu kemudahan baharu. Cuma kita tidak perlu lagi bersesak-sesak di bazar Ramadan untuk membeli juadah sebagaimana lazimnya. Tapi itu bukan masalah, kan.

Walaupun kita mungkin tidak mampu berkumpul bersama sebagaimana tahun-tahun sebelum ini disebabkan batas pergerakan, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan kemeriahan menyambut Ramadan.

Yang tidak mampu pulang ke rumah ibu bapa, tidak pernah putus-putus mengirim foto masakan di kumpulan whatsapp keluarga masing-masing dan begitulah sebaliknya.

Silaturrahim itu tidak pernah putus. Malah dalam suatu keadaan, ia lebih meriah.

Jika kita mengambil positif mengenai kehidupan di era “new normal” atau kebiasaan baharu ini, juadah berbuka puasa di rumah jauh lebih enak rasanya, manakala tahap kebersihan pula adalah dijamin.

Apatah lagi ketika langkah-langkah pencegahan COVID-19 begitu menuntut kita mengutamakan soal kebersihan tanpa kompromi, suasana sekarang sebenarnya amat baik sekali.

Selesai berbuka puasa dan solat maghrib, bermulalah solat Isya’ dan kemudiannya solat sunat terawikh.

Mereka yang selama ini menjadi makmum di masjid ketika solat terawikh, sudah berani menunaikan tanggungjawab sebagai imam solat ketika di rumah.

Indahnya suasana tersebut – anak, menantu dan bapa bergilir menjadi imam dan bilal.

Walaupun ada gurauan lucu mengenai mereka yang tidak biasa menjadi imam, namun semua itu adalah kemeriahan yang tidak mencacatkan apa-apa pun.

Apa yang penting, Ramadan dalam kebiasaan baharu ini dapat memupuk semangat kekeluargaan dan silaturrahim sesama kita dengan lebih erat daripada biasa.

Dalam satu sisi, ia mampu membentuk anak-anak untuk menjadi imam solat selepas Ramadan  setelah mereka kian mempunyai keyakinan diri sepanjang menjadi imam solat sunat terawikh.

Jauh daripada itu, terdapat anak menantu yang meluangkan waktu menyampaikan tazkirah ringkas setelah selesai solat sunat terawikh dan suasana itu mungkin tidak atau jarang berlaku sebelum ini.

Sesungguhnya, indah berkongsi ilmu sesama keluarga, apatah lagi ketika di rumah di bulan yang mulia ini.

Nah!, apakah anda masih merasa “kekok” (janggal) dengan suasana baru Ramadan kali ini. Kita sudah hampir menyelesaikan PKP ketiga dan bakal masuk ke PKP keempat tidak lama lagi.

Ertinya kita sudah lebih sebulan dididik agar sentiasa berada di rumah masing-masing. Keadaan itu, sedikit sebanyak telah mendidik kita sebenarnya untuk biasa dengan keadaan Ramadan sekarang,

Dan kelihatannya, tiada lagi kedengaran rungutan atau gambaran salah kononnya kemeriahan menyambut Ramadan tahun ini akan hilang kemeriahannya.

Walaupun baharu memasuki usia dua hari Ramadan, kita seperti menerima dengan baik keadaan ini. Syukurlah.

Sementara itu, kita gembira apabila melihat budaya saling membantu di kalagan kita terutama kepada golongan kurang berkemampuan.

Ini dapat dilihat ia berlaku saban hari bagi meringankan beban golongan berkenaan. Orang kaya, mengagihkan kekayaan mereka untuk orang yang susah, manakala aktivitis Badan Bukan Kerajaan (NGO) tidak henti-henti menjengok masyarakat susah untuk dihulurkan bantuan.

Kerajaan kita pun begitu juga, sentiasa prihatin melalui pelbagai pakej bantuan untuk meringankan beban rakyat. Berbanding negara lain, kita di Malaysia sebenarnya jauh lebih bertuah.

Bersyukurlah kita.

Sebenarnya, kedatangan Ramadan saban tahun disambut dengan biasa biasa saja, tidak lebi dan tidak kurang.

Tinggal lagi, bagaimanakah cara mengisi kemeriahan Ramadan itu sendiri.

Dulu pun meriah, dan sekarang juga meriah. Namun kemeriahan hari ini dengan cara yang baharu, era baharu dan kebiasaan yang baharu. -Planetmahir.com

Kategori Lain