Planet Mahir Sumbang Komputer Riba Kepada Golongan B40 (Edisi 9)

Artikel asal oleh Edisi 9

CYBERJAYA – Prihatin dengan masalah pembelajaran atas talian yang dihadapi oleh pelajar golongan B40, Planet Mahir Sdn Bhd mengambil inisiatif menyampaikan bantuan menerusi Program Wakaf Komputer Riba (MAHIR Cakna).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, berkata, bantuan berbentuk komputer riba yang diwakafkan oleh orang ramai itu akan dihulurkan khusus kepada pelajar B40 yang menyertai Program MAHIR Tutor di seluruh negara.

“Kita menyasarkan juga bantuan komputer riba yang diwakafkan itu disalurkan kepada sekolah-sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor bagi membolehkan pembelajaran atas talian oleh pelajar-pelajar golongan B40 lebih sempurna.

“Justeru, saya mengajak warga Malaysia yang prihatin untuk bersama-sama Planet Mahir untuk mewakafkan komputer riba untuk kita serahkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukannya”, katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Menurut Dr. Ramzi, keutamaan bantuan komputer riba itu diberikan kepada pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Katanya, program wakaf komputer riba itu dibuka untuk orang ramai yang prihatin dalam bersama-sama menyalurkan sumbangan sehingga akhir tahun ini.

“Kita menyasarkan untuk mengumpul sejumlah seribu unit komputer ribu lagi daripada orang ramai yang sudi mewakafkannya.

“Setakat ini, sejumlah 20 unit komputer riba telah diserahkan kepada pelajar B40 sejak Jun lalu.

 “Pemilihan pelajar yang akan diberikan bantuan komputer riba itu akan dicadangkan oleh pihak sekolah yang menyertai program MAHIR Tutor.

“Terbaharu, dua pelajar B40 di sekitar Damansara, Muhammad Putra Aiman Painasir dan Nur Sayyidatul Jalilah Zukeply menerima sumbangan komputer riba daripada program wakaf berkenaan”, katanya.

Beliau menambah, untuk rekod, program MAHIR Tutor kini mempunyai 50,000 pelajar yang ditaja menerusi Program Wakaf Pendidikan.

Dr. Ramzi turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak-pihak yang menyertai Program Wakaf Komputer Riba anjurannya itu.

“Kami utamakan sumbangan dalam bentuk komputer riba. Walau bagaimanapun, sumbangan dalam bentuk wang tunai tetap juga diterima dan kami akan membeli komputer riba dengan wang sumbangan tersebut bagi memudahkan pelajar-pelajar dapat terus menggunakannya”.

Orang ramai yang ingin menyertai program wakaf komputer riba itu boleh menghubungi talian 0195240201 atau emel ke alamat [email protected] Edisi 9

Kategori Lain