Norma Dan Tabiat Baru Pasca PKP

Oleh Zuraina Ahmad

DALAM keterujaan kita mengalu-alukan kedatangan tahun 2020, dunia dikejutkan dengan kehadiran tetamu tidak diundang, wabak COVID-19. Negara kita, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkena tamparannya.

Kebanyakan sektor ekonomi terjejas. Banyak perniagaan terpaksa ditutup. Ramai yang diberhentikan atau diberikan cuti tanpa gaji. Pendapatan isi rumah terganggu.

Mahu ataupun tidak, kita terpaksa menghadapi kesan negatif dan ketidakpastian masa hadapan dalam tempoh penularan wabak ini. Namun, kita yakin bahawa tidak semua yang negatif itu buruk. Setiap yang buruk itu pasti ada baiknya.

Bagi mengekang dan mencegah penularan wabak Covid 19, setakat ini Kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam 4 fasa:

Fasa PKP Tempoh Bilangan hari
1 18 – 31 Mac 2020 14 hari
2 1 – 14 April 2020 14 hari
3 15 – 28 April 2020 14 hari
4 29 April – 12 Mei 2020 14 hari
  Jumlah hari 56 hari

Dalam tempoh PKP berlangsung, pergerakan kita terhad. Hampir keseluruhan masa dihabiskan di rumah. Bagi yang masih bekerja, mereka perlu bekerja dari rumah.

Kita mula melatih diri untuk menggunakan teknologi dan kemudahan maya untuk melakukan kerja dan berhubung sesama sendiri. Jika sebelum ini kita belum begitu melibatkan diri dalam era IR4.0, kini kita ‘terpaksa’.

Apabila aktiviti kehidupan terhad, sebagai makhluk kreatif dan inovatif, manusia mula membentuk norma dan tabiat baru. Sebagai contoh, sebelum PKP, jika kita mahu makan, kita bebas ke mana-mana restoran yang kita sukai.

Tetapi kini, kita perlu masak sendiri di rumah atau sekurang-kurangnya belajar untk membuat tempahan makanan secara atas talian. Yang tidak tahu membuat tempahan atas talian, telah mula belajar dan menggunakan aplikasinya. Akibat bosan terperap di rumah, kita mula mencuba kemahiran atau hobi baru – berkebun, menjahit, mengait, dan sebagainya.

Sebelum PKP, masa yang ada mungkin banyak dihabiskan untuk perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja, menunggu urusan diselesaikan, atau dengan aktiviti-aktiviti mencari rezeki.

Kini ada banyak kelapangan serta masa untuk diri dan keluarga. Kita punyai lebih ruang dan peluang untuk berbual dengan ahli keluarga, membuat kerja rumah, bersenam, membaca buku kegemaran, menonton cereka, dan lain-lain.

Menurut pakar psikologi, untuk sesuatu aktiviti baru berjaya menjadi tabiat atau kebiasaan, ia akan mengambil masa selama sekurang-kurangnya 2 bulan atau secara spesifiknya 66 hari. PKP Fasa 1 hingga 4 mengambil masa kira-kira satu bulan 24 hari atau 56 hari.

Maka, tempoh PKP ini adalah masa yang sangat sesuai jika kita mahu mengubah diri ke arah yang lebih baik. Fokus kepada matlamat dan ubah pengharapan (expectations). Biasakan diri dengan aktiviti, rutin dan tabiat yang positif.

Terdapat 4 perkara yang mesti ada dalam pembentukan tabiat, iaitu:

  1. Isyarat

Ada isyarat ke otak untuk bergerak ke arah ganjaran. Otak kita sentiasa membuat analisis keadaan dalaman dan luaran untuk mencari isyarat. Contoh, kita menggunakan jam loceng untuk mengejutkan kita dari tidur. Bina persekitaran yang memberi signal dan mengingatkan kita untuk bertindak.

  1. Keinginan

Keinginan ialah kuasa yang memotivasi pembentukan tabiat. Tanpa keinginan, kita tiada sebab untuk bertindak. Keinginan ini bukanlah tabiat itu sendiri tetapi sesuatu yang mendorong perubahan. Kita tidak teringin untuk menggosok gigi, tetapi kita ingin mengalami mulut yang bersih (Gambar B).

Tahap keinginan adalah berbeza antara individu. Contohnya, bunyi mesin mengira wang mungkin bising pada si A, tetapi satu ‘muzik’ pada si B. Ramai yang menggunakan ‘vision board’ atau ‘dream board’ untuk menzahirkan keinginan mereka. Walaubagaimana pun, menurut psikoterapis, cara yang lebih baik ialah dengan membayangkan kita berusaha ke arah keinginan tersebut.

  1. Tingkahlaku

Inilah tabiat atau rutin yang sedang dibina. Ia bergantung kepada tahap motivasi dan keupayaan untuk melakukan tindakan. Tindakan positif hanya akan berhasil jika diiringi oleh fikiran positif.

  1. Ganjaran

Tujuan ganjaran ialah ialah untuk memenuhi keinginan. Ia biasanya menghasilkan rasa seronok dan kepuasan.

Bagi membolehkan sesuatu tindakan itu berjaya menjadi tabiat, keempat-empat perkara di atas perlu memenuhi syarat berikut:

  1. Isyarat mestilah jelas
  2. Keinginan mestilah menarik
  3. Tingkahlaku mestilah mudah
  4. Ganjaran mestilah memuaskan

Mudah-mudahan, dengan tamatnya PKP ini nanti, aktiviti-aktiviti yang baik akan menjadi automatik dan kita sudah berjaya keluar daripada tempoh ini sebagai individu yang lebih baik. Ingat! 1% penambahbaikan sehari akan menjadikan anda 37% lebih baik dalam masa setahun! – Planetmahir

 

Kategori Lain