Menambah Pendapatan Dalam Era Ekonomi Gig

Oleh DATO’ DR AHMAD RAMZI MOHAMAD ZUBIR

DALAM kalangan orang muda, ekonomi gig bukanlah satu perkara yang asing. Ekonomi gig memberi peluang kepada mereka mencari pendapatan dengan melaksana pelbagai tugasan jangka pendek dengan tidak dikongkong waktu dan tempat bekerja.

Ada di antaranya menawarkan bayaran yang lumayan. Contohnya tugasan seperti mereka bentuk grafik, menganalisis data dan pengaturcaraan dibayar dalam lingkungan RM1,000 ke RM2,000 untuk satu tugasan dan ianya boleh dibuat dari rumah.

Gig dalam ekonomi bolehlah dikategorikan kepada dua kumpulan. Pertamanya, gig berasaskan pengetahuan seperti perunding kewangan atau penganalisis data. Keduanya adalah gig berasaskan perkhidmatan seperti pemandu Grab atau tuan rumah AirBnB.

Di Malaysia, kebebasan dan fleksibiliti yang ditawarkan ekonomi gig menyebabkan ia menjadi pilihan popular bagi orang muda dan golongan wanita yang berkeluarga, dengan didorong pula oleh faktor kos sara hidup yang semakin meningkat.

Walaupun istilah gig ini bermula daripada industri muzik seawal tahun 1915, ekonomi gig menjadi perhatian selepas krisis kewangan global 2008. Krisis ini telah menyebabkan firma mengubah model perniagaan bagi mengatasi isu peningkatan kos, kecekapan dan produktiviti.

Umumnya, ekonomi gig ini didorong oleh tiga faktor utama iaitu kemunculan kategori baru dalam pekerjaan, kesedaran hak pekerja dan penggubalan dasar-dasar yang lebih fleksibel dalam amalan kerja. Teknologi menjadi alat yang memacu perkembangan ini.

Hari ini, ramai di antara kita yang cenderung untuk memilih bekerja secara bebas atau ‘freelance’. Mereka boleh berbincang dan berkolaborasi menggunakan platform Skype atau media sosial, bekerja dengan laptop dengan sambungan wifi percuma sambil menikmati secawan kopi di Starbucks.

Menurut Bank Dunia, terdapat 26 peratus kalangan pekerja di Malaysia yang bekerja sendiri, dan trend ini dijangka akan terus meningkat. Lantaran itu, landskap baru ini memerlukan perubahan pemikiran, organisasi, peraturan dan kemahiran sesuai dengan cabarannya.

Ekonomi gig menuntut pesertanya memiliki kemahiran yang khusus. Kursus jangka pendek melalui platform pendidikan atas talian seperti Udemy, Coursera dan Skillshare boleh diambil bagi menambah pengetahuan dan kemahiran baru sama ada secara percuma atau dengan kos yang murah. Mereka juga bahkan boleh menjana pendapatan dengan menjadi online instructor atau skillsharer.

Justeru itu, dengan pelbagai ruang dan kemudahan yang ada di sekeliling kita, peluang untuk terlibat di dalam ekonomi gig amatlah mudah. Teknologi telah mengubah cara hidup dan cara bekerja mengikut kemampuan dan kesungguhan kita.

Kategori Lain