Oleh DATO’ DR AHMAD RAMZI MOHAMAD ZUBIR
APA persamaan yang dipunyai oleh Facebook, Google dan Apple? Amat mudah untuk kita mengenali jenama-jenama ini kerana mereka bukan sahaja tergolong dalam kalangan firma terkaya dunia malah keupayaan mereka memanfaatkan inovasi teknologi yang mengubah bagaimana kita memenuhi pelbagai keperluan dan kehendak kita.
Secara teorinya, inovasi teknologi ini merujuk kepada suatu proses yang dipacu oleh kemajuan sains dan inovasi, yang akhirnya menyebabkan penciptaan nilai dan pasaran baru, sekali gus merubah bagaimana firma atau institusi beroperasi dan bersaing. Sejauh mana fenomena ini telah mengubah hidup kita?
Dengan peningkatan kelajuan capaian Internet dan kos yang lebih murah, inovasi teknologi ternyata memberi kesan terhadap kehidupan seharian. Teknologi dan Internet jalur lebar telah mempengaruhi cara hidup individu, model perniagaan dan pentadbiran kerajaan.
Sebagai contoh, iPhone atau telefon pintar lain dengan capaian Internet telah memudahkan kita untuk mengakses berita, berinteraksi secara maya, menggunakan perkhidmatan perbankan, membeli belah atas talian, menempah hotel, mendapatkan perkhidmatan kerajaan dan lain-lain lagi.
Pada 2018, terdapat 28.7 juta pengguna Internet di Malaysia, dengan 39.2% menghabiskan masa antara satu hingga empat jam sehari untuk mengakses Internet. Tingkah laku ini menjadi petunjuk penting yang menentukan tahap dan impak inovasi teknologi kepada masyarakat.
Inovasi e-dagang telah mengubah cara manusia menjalankan perniagaan. Contohnya, Alibaba, Amazon dan Lazada memanfaatkan Internet mudah alih dengan menyediakan platform kepada pengguna untuk menjalankan aktiviti pemasaran dan jual beli barangan dan perkhidmatan melalui transaksi atas talian dengan cara yang selamat, mudah dan pantas.
Portal pembelajaran atas talian seperti Coursera, EdX dan OpenLearning juga telah mengubah cara manusia mendapatkan ilmu, latihan dan kemahiran. Hari ini, dengan capaian Internet dan komputer riba, kita mampu belajar topik tentang analisis data daripada profesor di universiti terkemuka seperti MIT, Harvard atau Oxford di rumah.
Dalam industri pengangkutan, Grab, Uber dan GoJek telah memberi pengguna pilihan yang lebih efisyen dalam merancang perjalanan. Dalam sektor pelancongan pula, AirBNB dilihat memberi ancaman kepada pengusaha-pengusaha hotel. Netflix juga telah memberi pilihan hiburan alternatif yang berupaya meramal cita rasa dan kemahuan penggunanya.
Kita melihat inovasi teknologi yang dipacu bagi menyelesaikan masalah seharian telah membolehkan firma-firma melakukan transformasi terhadap model perniagaan dan perkhidmatan. Impak inovasi ini turut memaksa firma tradisional lain untuk berubah jika tidak mahu ketinggalan dalam persaingan di era ekonomi digital. – BebasNews