Kongsi Kemahiran Di Ruang Digital

Artikel asal daripada akhbar Kosmo!

BANYAK teknik penyediaan makanan dipelajari oleh Nabila Amira Ali, 20, menerusi video berdurasi lima minit itu di platform Planet Mahir.

Planet Mahir merupakan platform e-pembelajaran berbahasa Melayu yang berkongsi kemahiran dalam talian.

Platform berasaskan laman web itu menawarkan lebih 50 kursus meliputi kemahiran insaniah, profesional dan keusahawanan.

Nabila Amira yang merupakan pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda, Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor berkata, video-video yang disediakan di platform tersebut sangat membantunya dalam pengajian tersebut.

“Kalau sebelum ini, saya banyak melihat video masakan di internet yang tidak pasti sama ada orang itu pakar atau sebaliknya.

“Namun, di Planet Mahir, cef-cef yang berkongsi video masakan itu merupakan orang-orang yang pakar dan kebolehan mereka tidak diragui,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Terang anak ketiga daripada empat beradik itu, video-video tersebut sangat membantunya dalam memberikan idea dan menyelesaikan tugasan terutamanya untuk mempersembahkan sesuatu hidangan itu agar kelihatan menarik.

Cerita Nabila Amira lagi, dia mula melayari Planet Mahir sejak setahun lalu apabila mengetahuinya daripada laman sosial malah pengendali platform itu juga ada membuat program di UiTM Puncak Alam.

“Harga yang ditawarkan bagi satu video itu sangat murah iaitu serendah RM10 dan saya kongsinya dengan rakan-rakan satu kelas.

“Menariknya, ia juga menggunakan bahasa Melayu yang memudahkan kami untuk memahaminya,” ujarnya yang bercita-cita memiliki restoran makanan Barat pada masa akan datang.

Peluang

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Planet Mahir, Muhamad Haidar Darus, 25, berkata, platfotm e-pembelajaran itu ditubuhkan pada Jun tahun lalu yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari kemahiran baharu dan mengasah bakat mereka menerusi kursus bersama pakar dalam pelbagai bidang.

“Tenaga pengajar kami terdiri daripada individu yang berpengalaman dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

“Kami ingin merevolusikan industri latihan di Asia dengan menjadikan platform ini sebagai pilihan bagi pelajar yang sering berhadapan dengan masalah seperti kos, bahasa, jarak dan akses,” terangnya ketika ditemui K2 di Pejabat Planet Mahir, Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selagor baru-baru ini.

Muhamad Haidar memberitahu, pihaknya cuba memberi penyelesaian kepada isu yang sedang dihadapi pada masa ini iaitu peluang pekerjaan dan kos sara hidup.

Sehubungan itu, lahirlah Planet Mahir yang membantu menambahkan kemahiran, sekali gus dapat menjana pendapatan.

Bayaran

Ujar pemegang Diploma Perakaunan dari UiTM Kampus Seri Iskandar, Perak itu, platform pembelajaran dalam talian tersebut sangat penting kerana tidak semua orang boleh pergi menghadiri sesuatu kursus ekoran jarak dan kos maka, Planet Mahir menghimpunkan kesemua pakar dalam pelbagai bidang.

“Pengguna hanya perlu membayar serendah RM10 sehingga RM50 untuk setiap video dan pada masa sama disediakan satu ruang untuk pengguna berkomunikasi dengan tenaga pengajar sekiranya terdapat sebarang permasalahan.

“Paling penting, kami menggunakan bahasa Melayu kerana tidak semua orang boleh berbahasa Inggeris terutamanya penduduk di luar bandar dan pada masa sama ia juga bertujuan untuk memartabatkan bahasa ibunda kita,” ulas anak kelahiran Klang, Selangor itu.

Terangnya, Planet Mahir menekan tiga aspek penting iaitu kemahiran insaniah, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta keusahawanan.

Antara kemahiran yang diajar ialah masakan, terapi urutan, solekan, penampilan diri, menggunting rambut, asas mempertahankan diri, penghasilan video, pertukangan dan pengurusan perniagaan.

Planet Mahir telah bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Malaya dan City University sebagai salah sebuah platform pembelajaran alternatif kepada pelajar.

Tidak hanya di Malaysia, Planet Mahir dalam versi bahasa Melayu itu turut menembusi pasaran luar negara iaitu Indonesia, Brunei dan Singapura.

Pada masa akan datang, platform Planet Mahir akan menawarkan bahasa-bahasa lain di seluruh negara Asia.

Tambahnya, platform itu bukan sahaja memberi faedah kepada pengguna yang ingin mengasah kemahiran tetapi ia juga membuka peluang kepada tenaga pengajar profesional untuk berkongsi ilmu, sekali gus menjana pendapatan sampingan.

Menurut Muhamad Haidar, bagi mengembangkan lagi platform tersebut, pihaknya bakal melancarkan aplikasi mudah alih pada November depan.

“Aplikasi itu menampilkan ciri-ciri penstriman secara langsung, ruang sembang, suntingan dan muat naik video.

Urutan

“Matlamat utama kami adalah untuk mengasah dan membangunkan ikon kemahiran masa hadapan sejajar dengan piawaian antarabangsa,” ujarnya yang merupakan bekas atlet tinju negara.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar di Planet Mahir, Abdul Wahab Mohamed Ibrahim, 70, akan memberi tumpuan kepada pengajaran Terapi Urutan Mudah Untuk Kesihatan.

“Bayangkan dengan hanya membuat urutan di bahagian tangan dapat melegakan kesakitan seperti migrain dan mengawal emosi.

“Kelima-lima jari ini saling berkaitan dengan kesihatan tubuh badan serta emosi. Sebagai contoh jika ingin meredakan tekanan kita hanya perlu membuat urutan pada ibu jari,” kongsinya yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam dunia terapi urutan.

Terang Abdul Wahab, modul urutan yang diajarnya itu sangat mudah untuk dipraktikkan malah boleh dilakukan bersama keluarga untuk mengeratkan kasih sayang.

Seorang lagi tenaga pengajar di Planet Mahir, Amirul Arief Ahmad Nawavi, 20, telah menjadi tukang gunting rambut sejak berusia 14 tahun.

“Ketika itu, saya belajar sendiri menerusi video-video di internet kerana berminat dalam bidang ini dan tidak sangka ia menjadi kerjaya saya.

“Menerusi Planet Mahir ini saya ingin membantu anak muda untuk menjana pendapatan sebagai tukang gunting rambut,” ujar anak kelahiran Subang Jaya, Selangor itu.

Antara yang diajar oleh Amirul Arief ialah fungsi alatan menggunting rambut, menghasilkan potongan asas, cara menggayakan rambut dan menjaga kebersihan.

Planet Mahir menghimpunkan pakar-pakar dalam pelbagai bidang untuk berkongsi ilmu secara digital bagi mengasah kemahiran dan membuka peluang pekerjaan. -KOSMO!

Kategori Lain