Jangan Pandang Remeh Isu Kesihatan Mental

Oleh Ayob Mamat

DALAM menjalani kehidupan seharian, ramai yang memandang remeh mengenai isu berkaitan dengan kesihatan mental.

Bagi kebanyakan orang, masalah kesihatan mental sering dikaitkan dengan “sakit otak” atau gila, padahal ia sebenarnya sangat berkait dengan emosi serta tingkah laku seseorang.

Bagi kita pula, mungkin menganggap diri kita sebagai orang biasa yang normal tetapi dalam keadaan tertentu, kita mungkin tergolong di kalangan mereka yang mempunyai masalah mental.

Demikian peri pentingnya untuk kita tahu mengenai isu kesihatan mental ini – apakah puncanya, simtomnya dan bagaimakah cara merawatnya – dan yang lebih utama lagi, kita harus tahu bagaimana untuk menjauhkan diri daripada masalah mentai ini.

Sebenarnya, penyakit mental tidak semestinya bermaksud anda seorang yang gila, walaupun penyakit gila itu mungkin menjadi sebahagian daripada penyakit mental.

Seorang doktor pakar psikologi antarabangsa pernah berkata, apabila anda bertemu dengan doktor psikologi, tidaklah bermaksud anda seorang yang gila, malah beliau lebih menghormati mereka yang mendapatkan bantuan doktor pakar dalam hal tersebut kerana mereka dilihat lebih mempunyai jati diri.

Penyakit mental itu secara tepatnya adalah merujuk kepada keadaan kesihatan seseorang yang disebabkan perubahan emosi atau tingkah laku.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati satu daripada empat individu di dunia mengalami gangguan mental biasa seperti kemurungan dan cemas setiap tahun.

Menurut Persatuan Psikiatri Amerika pula, sama seperti penyakit jantung dan diabetes, penyakit mental juga berpotensi sembuh apabila dirawat. Sudah tentu, itu adalah fakta yang melegakan.

Terdapat tiga keadaan yang dialami oleh pesakit mental iaitu, pertama Skizofrenia – Berlaku apabila individu berhadapan masalah halusinasi dengan pesakit dikatakan sering merasakan atau mendengar sesuatu bisikan.

Kedua, kemurungan – Lazimnya dihadapi wanita terutama mereka yang sibuk bekerja di pejabat dan menguruskan keluarga di rumah. Kemurungan keterlaluan juga dihidapi wanita selepas bersalin, terutama apabila tidak mendapat sokongan suami.

Dan ketiga, Bipolar – Dipercayai disebabkan pelbagai faktor yang bertindak bersama lalu mencetuskan masalah pada otak. Ia dikaitkan dengan keturunan terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami bipolar. Penyakit ini turut menyebabkan perubahan emosi seperti sedih dan gembira secara tiba-tiba.

Sebagai contoh, bunuh diri adalah antara tindakan yang boleh dikatakan berpunca daripada masalah kesihatan mental. Jangan pandang mudah mengenainya.

Menurut WHO, bunuh diri adalah sepuluh penyebab utama kepada kematian di dunia.

Tidak perlulah disebutkan mengenai data-datanya di sini tetapi secara kesimpulannya, ia tidaklah boleh dipandang sebelah mata. Demikianlah sebagai contoh apabila kita menghadapi masalah terhadap tahap kesihatan mental.

Untuk anda tahu, dikatakan setiap seratus orang dalam masyarakat kita mengalami bipolar dalam hidup mereka, manakala kajian kesihatan dan morbiditi kebangsaan pada tahun 2018 mendapati, 29 peratus rakyat Malaysia mengalami depresi dan gangguan kecelaruan.

Jumlah itu dilihat meningkat agak mendadak berbanding hanya sekitar 12 peratus pada tahun 2011.

Secara berterus-terang, dengan keadaan semasa yang berlaku apabila munculnya pandemik COVID-19 yang menyebabkan kita semua terpaksa mengubah cara hidup secara mandotori – terkurung, kebebasan yang amat terbatas, dunia baharu dan cara mengurus kesihatan diri yang lain berbanding sebelumnya – apakah masalah kesihatan mental ini tidak dekat dengan kita?.

Ramai orang merasa malu untuk mendapatkan rawatan atau khidmat nasihat dengan pakar jiwa atau psikiatri kerana cara berfikir masyarat kita yang dianggap keterlaluan mengenai perkara tersebut.

Bagi sesetengah mereka, apabila melihat seseorang menemui doktor atau pakar psikiatri, dia akan dilihat seolah-olah sudah menjadi “orang gila”, padahal hakikatnya, itu hanya satu proses untuk rawatan kesihatan mental yang diperlukan – bukan gila!

Sebenarnya, mereka yang menemui doktor atau pakar psikiatri tanpa memperdulikan pandangan serong masyarakat adalah mereka yang wajar diberikan penghormatan yang tinggi kerana mereka faham mengenai tanggungjawab menjaga tahap kesihatan mental.

Apa yang dikhuatiri ialah, kerana terlalu melihat orang lain yang mendapat rawatan mental secara begitu negatif, kita sendiri tidak menyedari bahawa kita sebenarnya sedang mengalami masalah mental.

Itu lebih bahaya sebenarnya.

Stigma itu sudah terlalu lama wujud di kalangan masyarakat kita dan ia adalah sesuatu yang amat susah mahu diubah.

Sebenarnya kita bertuah apabila kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan  Malaysia (KKM) telah memberikan perhatian serius terhadap isu kesihatan mental ini.

Ini dapat dilihat apabila kementerian itu  telah menyediakan perkhidmatan kesihatan mental di peringkat kesihatan primer, di mana  sebanyak 1,001 klinik kesihatan dan lebih 200 orang Pakar Perubatan Keluarga memberikan perkhidmatan promosi, saringan dan intervensi kesihatan mental.

Selain itu, empat buah institusi mental, 60 hospital kerajaan dan 25 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di seluruh Malaysia turut menawarkan perkhidmatan psikiatri, kaunseling dan psikoterapi kepada individu yang mengalami kemurungan serta pengurusan kes berkaitan tingkah laku bunuh diri.

Terdapat juga Pertubuhan Bukan Kerajaan seperti  The Befrienders, Malaysian Mental Health Association (MMHA) dan Mental Illness Awareness Support Association (MIASA) yang turut menawarkan perkhidmatan sokongan kepada individu yang mengalami masalah emosi, kemurungan, dan keinginan untuk membunuh diri.

Sebenarnya usaha untuk membantu golongan yang mempunyai masalah dengan kesihatan mental telah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila 10 Oktober setiap tahun telah diistiharkan sebagai Hari Kesihatan Mental Sedunia.

Apa yang penting ialah, selain kita perlu mengurus dan menjaga kesihatan diri sendiri, kita juga perlu mendidik masyarakat agar tidak memandang serong terhadap mereka yang mendapatkan rawatan psikologi atau psikiatri kerana golongan tersebut sebenarnya amat memerlukan sokongan dan dokongan kita semua.

Jangan meminggirkan mereka dan jadikan mereka adalah sebahagian daripada kita kerana dengan kaedah tersebut, ia mampu membantu golongan berkenaan untuk sembuh.

Dalam hal yang lain, jangan terlalu mudah melabelkan seseorang yang mendapatkan khidmat pakar pdikologi dengan label atau gambaran yang buruk. Itu tidak bagus.

Ketika pandemik COVID-19 kian menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan kita juga diberikan sedikit kelonggaran dalam kehidupan, maka menafaatkanlah ia untuk antara lainnya bagi mengutamakan kesihatan diri.

Bukan sahaja mengenai COVID-19, tetapi memberikan perhatian secara wajar terhadap isu-isu kesihatan mental.

Kita faham, selama lebih tiga bulan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada juga di kalangan kita yang berada dalam tekanan.

Maklumlah, suasana kehidupan berubah secara tiba-tiba.

Jangan kita terlalu tertekan atau melayan perasaan yang negatif. Yang perlu dilakukan adalah kebijaksanaan kita mengurus emosi dengan baik dan sempurna selain lancar dalam mengatur kehidupan di era kebiasaan baharu ini.

Hargai kesihatan diri kita, jauhi hal-hal yang boleh menyebabkan kemurungan dan tekanan.

Jadilah seorang yang sihat, selama-lamanya sihat! -planetmahir.com

Kategori Lain