Ekonomi Gig: Kesulitan Dan Peluang

KUALA LUMPUR, 8 Dis — Ekonomi gig: frasa yang diperkatakan apabila perbincangkan bertumpukan kepada landskap kerja semasa untuk golongan profesional muda, siswazah baharu, mendapat kerja (pekerjaan apa pun), untuk sara hidup.

Namun apakah sebenarnya ekonomi gig ini? Apakah kesulitan atau kelebihan menjadi sebahagian daripada ekonomi gig? Dan apa yang menanti mereka yang bergantung kepada kerja separuh masa, atau sementara ini?

Ringkasnya, ekonomi gig ialah pasaran buruh bercirikan kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu. Ia dipacu oleh persekitaran digital, dan kesediaan aplikasi yang secara langsung menyampaikan maklumat dan peluang untuk bekerja.

Ekonomi gig hari ini hampir sama dengan kerja bebas – yang semua orang tahu mengenai kesan positif dan negatifnya, dan yang menawarkan peluang serta ketidaktentuan, semuanya pada masa yang sama.

Segmen ekonomi yang semakin meningkat ini, terutama bagi generasi muda yang lebih sesuai dengan persekitaran digital.

Satu kajian yang dijalankan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan bahawa ekonomi gig diunjurkan bernilai kira-kira US$63 bilion di seluruh dunia menjelang 2020.

Dalam nota kajiannya, firma itu menyebut bahawa peningkatan segmen yang keseluruhannya melibatkan pekerjaan sepontan atau ‘gig’, atau tugasan kontrak, merupakan cabaran bagi pengurusan modal insan dan sumber.

Sebanyak 46 peratus profesional sumber manusia di seluruh dunia mengunjurkan menjelang 2020, sehingga 20 peratus daripada tenaga kerja akan terdiri daripada pekerja kontrak untuk tugasan jangka pendek atau bebas.

Walaupun pekerjaan jangka pendek, sementara, secara sambilan ini membolehkan pekerja – sebahagian besarnya golongan milenium, muda, siswazah baharu dan peserta baharu ke pasaran, atau mereka yang berusaha untuk menambah pendapatan, atau yang telah ditamatkan pekerjaan susulan pengurangan pekerja – bagi memenuhi perbelanjaan sara hidup semasa, sementara menunggu pekerjaan tetap, situasi ini mencetuskan beberapa kebimbangan utama pada masa depan.

Kebimbangan utama ialah ekonomi gig ini akan meletakkan pekerja dalam perangkap kemahiran dan kerjaya.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Planetmahir Sdn Bhd Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah peserta ekonomi gig akan terus meningkat kepada lebih 40 peratus daripada tenaga kerja.

Beliau berkata: “Mereka yang berada dalam ekonomi gig ini akan sentiasa berada dalam kedudukan sementara atau sambilan. Ini bermakna mereka tidak akan dapat membangunkan kemahiran yang kukuh atau meningkatkan kepakaran, yang boleh menawarkan laluan kerjaya yang lebih positif.

“Jika mereka tidak dapat memecahkan kitaran pekerjaan sementara ini, masa depan mereka mungkin tidak kekal. Mereka mungkin tidak akan dapat pekerjaan dengan gaji yang lebih baik atau pekerjaan yang lebih baik yang menawarkan faedah dan pampasan yang stabil.”

Ini, menurut Dr Ahmad Ramzi, akan diterjemahkan sebagai ketidakupayaan untuk menabung atau asas untuk pendapatan untuk masa depan mereka yang akan menyokong mereka pada masa depan. Akhirnya, ia akan meluaskan jurang pendapatan antara yang ada dan tidak, dan memberi kesan kepada infrastruktur sokongan sosial negara dalam menangani keperluan penduduk yang semakin tua.

Pada akhirnya, katanya, majikan tidak dapat mengakses kemahiran sebenar atau memiliki asas pekerja yang benar-benar kompeten untuk mengembangkan perniagaan mereka secara strategik.

Berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), peningkatan ekonomi gig dan penduduk yang semakin tua dijangka menyebabkan penurunan peratusan pekerja yang menyumbang kepada dana itu.

Ini bertentangan dengan pekerjaan tetap di mana penyumbang gaji sektor swasta menyumbang kepada KWSP sementara penjawat awam mempunyai perlindungan pencen awam.

Isunya ialah mengapa semakin ramai generasi muda terlibat dalam ekonomi gig ini jika ia ternyata agak mengecewakan?

Tinjauan Bernama baru-baru ini dalam kalangan pemandu e-hailing, pekerja bebas serta pekerja kontrak, menunjukkan bahawa majoriti peserta ekonomi gig pada masa ini masih muda, berpendidikan dan bergelut untuk mencari pekerjaan yang stabil.

Lebih buruk lagi, mereka juga perlu membayar hutang seperti pinjaman pelajaran. Hanya sebilangan kecil pekerja ekonomi gig yang memilih untuk terlibat kerana fleksibiliti masa yang ditawarkannya.

Muhammad Idham Khairuddin, 24, yang menamatkan pengajian pada tahun lepas dan kini bekerja sebagai pemandu e-hailing sepenuh masa, berkata beliau sukar mencari pekerjaan yang sesuai dengan pengajian yang dia ambil di kolej.

“Saya mengkaji komunikasi dan sekarang, semuanya difokuskan pada kandungan digital. Malangnya, itu bukan apa yang saya pelajari. Kami tahu kami bukanlah pilihan majikan.

“Lebih malang lagi, majikan memilih untuk mengupah seseorang yang berpengalaman, yang tidak dimiliki oleh siswazah baharu untuk bekerja dengan syarikat mereka,” katanya. Beliau mempersoalkan bagaimana orang sepertinya mahu mendapat pengalaman jika mereka tidak diberikan peluang untuk bekerja.

Ekonomi gig membawa kita kembali kepada soalan yang sudah kerap ditanyakan: sejauh mana institusi pendidikan tinggi tempatan mengemas kini dan menyesuaikan bidang pengajian atau kurikulum mereka supaya selari dengan perkembangan pasaran dan meningkatkan kebolehpasaran siswazah masing-masing?

Seorang lagi peserta ekonomi gig, Andrew Liew Kim Leng, 31, seorang pereka bebas, berkata baginya lebih baik bekerja sebagai pekerja bebas – dengan setiap sen yang diperolehnya adalah miliknya, tanpa terikat dengan cara kerja tertentu, atau dikehendaki mematuhi peraturan syarikat. Lebih penting lagi, beliau menikmati fleksibiliti masa bekerja.

“Ada ketika saya mempunyai beberapa projek dalam sebulan, namun ada beberapa bulan tidak mempunyai projek. Saya memandu e-hailing apabila tidak mempunyai kerja yang perlu dilakukan. Saya boleh menguruskannya setakat ini,” katanya.

Persamaan antara Mohammad Idham dan Andrew dan mungkin beberapa ribu lagi – mereka tidak mempunyai pelan atau simpanan kewangan untuk masa tua.

Memang, ekonomi gig memberikan penyelesaian jangka pendek untuk masalah ekonomi, namun ia tidak berdaya maju sebagai sumber pendapatan jangka panjang.

Oleh itu, ekonomi gig perlu dikawal bagi menyediakan bentuk perlindungan dalam memastikan kebajikan pekerja, untuk masa sekarang dan akan datang.

Malah, data Bank Dunia menunjukkan ekonomi gig Malaysia meningkat 26 peratus daripada jumlah pertumbuhan ekonomi – menekankan seriusya segmen ini, dan potensi impaknya ke atas masyarakat.

Di Parlimen baru-baru ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ekonomi gig dikenal pasti sebagai sumber baharu pertumbuhan ekonomi dan akan menjadi sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-12.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga menyedari implikasi ekonomi gig dan perlunya untuk menjaga hak pekerja.

“Oleh itu, kerajaan telah mengambil beberapa inisiatif dengan tujuan memanfaatkan ekonomi gig. Dalam rancangan Rancangan Malaysia ke-12 2021-2025, kami akan memberi tumpuan kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, namun pada masa yang sama, kita perlu memastikan ia lestari dan inklusif.

“Lebih penting lagi, kita perlu memastikan kita menjaga kepentingan dan kebajikan pekerja dan majikan untuk memberi tumpuan kepada ekonomi gig,” katanya sambil menambah bahawa mereka yang berada dalam ekonomi gig mungkin berhadapan risiko dianiaya, dieksploitasi oleh majikan.

Tanpa dasar untuk menangani isu-isu tersebut, pengembangan ekonomi gig mungkin mewujudkan ketidakstabilan kewangan yang kelak menimbulkan isu sosioekonomi dan politik yang lebih serius dalam jangka panjang ke atas negara.

— BERNAMA

Artikel asal: http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1797438

Kategori Lain