Data Is King: Menjana Kemakmuran Melalui Ekonomi Dipacu Oleh Data

Oleh Dato’ Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir

DALAM dunia yang kita huni sekarang, data adalah umpama minyak, yang memberi kemakmuran dan kekayaan kepada mana-mana negara yang menjumpainya. Data kini menjadi enjin pertumbuhan perniagaan, yang telah mentransformasi proses operasi tradisional merentas industri. Ia telah menjadi aset modal kepada apa yang ditermakan sebagai “Ekonomi diPacu Data” (Data-driven Economy – DDE).

Apakah DDE dan apakah manfaatnya kepada kemakmuran ekonomi?

Mungkin ramai di kalangan kita menjangkakan DDE adalah perdagangan data semata-mata. Isu ini banyak diperkatakan di negara kita di mana data persendirian dijual secara haram walaupun terdapat Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010.

Tetapi DDE sebenarnya adalah ekonomi yang didorong oleh bagaimana manusia memanfaatkan data yang diperolehi untuk memajukan perniagaan atau karier mereka. Sebagai contoh, bagaimana seorang nelayan mampu mendapat hasil laut yang lebih banyak dengan memanfaatkan data mengenai cuaca, atau data arus laut atau data kedalaman laut dan sebagainya. Atau bagaimana seorang peniaga batik memanfaatkan data yang diperolehinya untuk menghasilkan rekaan yang lebih inovatif, yang bakal menjana lebih pendapatan. Data tersebut mungkin berupa data trend terkini, atau data kecenderungan pasaran atau data kuasa beli pengguna pada masa itu.

Antara ciri-ciri dan manfaat DDE adalah meluaskan skala ekonomi, economy of scope (penjimatan kos pengeluaran produk), peluasan rangkaian luaran dalam banyak sektor, dan asimetri maklumat yang pervasif.

Bekas Perdana Menteri Jepun, Mediang Shinzo Abe merujuk kepada ekonomi dipacu data dalam ucapannya pada tahun 2019 di Davos, dengan menyatakan bahawa “kita masih belum dapat mengejar realiti baharu, di mana data memacu segala-galanya.”

Cabaran bagi kita kini adalah bagaimana kita dapat merakyatkan data supaya seluruh masyarakat di negara ini mempunyai akses kepada data yang mampu membawa perubahan kepada hidup mereka. Dalam hal ini kita amat bersetuju dengan kenyataan YB Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi bahawa Kerajaan akan terus memastikan rakyat dapat bebas merujuk data rasmi pelbagai agensi yang tidak pun diklasifikasikan sebagai rahsia selain boleh diakses dengan mudah.

Di Malaysia, Wilayah Sarawak nampak lebih terkehadapan. Premiernya, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak akan beralih kepada sektor ekonomi baharu dipacu teknologi digital, data dan inovasi agar kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik serta tidak menentu.

Di peringkat global, kita boleh lihat bagaimana China, yang memasuki ekonomi berteraskan pengetahuan (knowledge-based economy) 30 tahun dahulu, terkebelakang daripada Amerika Syarikat, kini berada di saf hadapan dalam DDE, disebabkan faktor saiz pasaran dan kelebihan dari segi jumlah data yang mampu diperolehi. Pada tahun 2019 misalnya, ekonomi digital adalah satu pertiga KDNK China, melampaui angka RMB 36 trillion. Sudah sampai masanya kita menerima hakikat kepentingan data dalam merencana masa hadapan negara.

DDE akan terus berkembang selaras dengan populariti industri peruncitan dalam talian dan juga gelombang transformasi digital, menjadikan data sebagai Raja (Data is King).Ini menimbulkan persoalan bagaimana industri boleh menggunakan data untuk membangunkan perniagaan teras mereka. Memperkenalkan penyelesaian dipacu data, disepadukan dengan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), mungkin jawapannya. Ia membolehkan perusahaan meningkatkan keterlihatan pengeluaran, mengoptimumkan operasi mereka dan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan. Berdasarkan data, mereka boleh mengenal pasti kelompok pelanggan baharu dan memperoleh permintaan sebenar mereka untuk mengkaji arah aliran. Ini bukan sahaja membantu melaraskan hala tuju mereka dengan lebih segera, tetapi juga membolehkan mereka memantau risiko operasi untuk bersedia menghadapi kemungkinan gangguan lebih awal.

Sebagai contoh juga dalam industri pembuatan, kilang tradisional mungkin terpaksa menutup barisan pengeluaran mereka dan menanggung kerugian kewangan disebabkan kerosakan mesin dan peralatan. Solusi kepada isu ini adalah data. Data membolehkan kilang moden memantau keabnormalan dan meramalkan kemungkinan kegagalan, supaya kelemahan dapat dikesan lebih awal. Dengan bantuan analisis data, kilang kemudiannya boleh menjalankan penyelenggaraan pencegahan untuk mengekalkan kestabilan rantaian bekalan dan kesinambungan perniagaan.

Manakala aplikasi Data Raya yang in-depth, menganalisis jumlah data yang besar secara proaktif dengan keupayaan luar biasanya, akan membantu perusahaan untuk mengoptimumkan rantaian bekalan mereka, seiring dengan pasaran, pada masa yang sama meningkatkan daya saing mereka.

Syarikat berasaskan data dan platform digital telah menjelmakan diri mereka sebagai perantara baharu dalam pasaran produk maklumat yang dimonopoli oleh hanya beberapa kerat syarikat besar dunia. Perubahan yang kita perhatikan dalam ekonomi digital melibatkan peralihan progresif dalam kuasa pasaran di sepanjang rantaian nilai, daripada pengeluar produk dan kandungan kepada penyedia perkhidmatan dan pengedar.

Nilai perniagaan data dibina berdasarkan keupayaan untuk mengekstrak pengetahuan, dan bukannya melalui pemerolehan dan penyimpanannya semata-mata. Apa yang tidak cukup ditekankan dalam paradigma data raya (big data) ialah “data semata-mata, selalunya bernilai rendah” (Rubinfeld dan Gal, 2017); apa yang diperlukan bukan hanya keupayaan teknologi atau analisis, tetapi kepelbagaian kemahiran dan, yang paling penting, pendekatan baru untuk berinovasi secara berterusan, mengekstrak nilai maksimum daripada data yang dihasilkan dan digunakan semula, sama ada untuk menyokong matlamat masyarakat yang penting atau sebagai pencetus kepada inovasi dalam aktiviti produktif.

Inilah ‘The New Realities’, sekadar memetik buku Peter Drucker, yang kita harus juarai, demi kemakmuran Rakyat dan Negara kita. – Planetmahir

Kategori Lain