COVID-19: Kita Belum ‘Merdeka’

Oleh Ayub Mamat, Penulis Residen

WALAUPUN kerajaan telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, ia bukanlah bermaksud kita sudah menang melawan penularan wabak COVID-19. Dan, meskipun deraf jangkitan di negara ini telah mula menunjukkan tanda mendatar, namun itu bukan alasan untuk kita kembali bebas.

Kita belum bebas!

Sudah tentu melalui kelonggaran yang diberikan itu – yang terkandas dibenarkan balik ke tempat asal, pasangan suami isteri yang berjauhan dibenarkan bertemu dan kita pula sedikit “bebas” bergerak di tempat kita.

Namun harus diingat, bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 Jun ini bukanlah bermaksud kerajaan telah memberi kebebasan untuk kita kembali normal sebagaimana sebelum ini.

Ingat, kita bukan hidup dalam suasana biasa sebagaimana sebelum ini tetapi kita sekarang sedang berada di era kebiasaan baharu yang menuntut kita mempunyai kesedaran mengenai bahayanya jangkitan COVID-19 dan peri pentingnya kita mematuhi Standard Operating Procedures (SOP) bagi mencegah jangkitan.

Dalam maksud lain, kita sebenarnya belum bebas atau merdeka dari ancaman COVID-19 yang sehingga kini telah menjangkiti jutaan orang di seluruh dunia, manakala ratusan ribu  lagi telah maut akibatnya.

Berdasarkan tinjauan, pematuhan rakyat terhadap SOP yang ditetapkan bolehlah dikatakan kian memuaskan tatapi keadaan itu masih perlu diberikan perhatian.

Hakikatnya, ramai yang memakai topeng muka dan mulut ketika keluar rumah, tidak membawa kanak-kanak – namun ketika mereka berada di tempat awam yang agak sesak seperti kaunter bayaran di kedai atau pasar misalnya, pematuhan terhadap jarak sosial masih lagi diragui.

Masih ada yang memandang mudah terhadap perkara tersebut dan kurang melihat SOP mengenai penjarakan sosial sebagai penting bagi mencegah jangkitan padahal pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan sudah “berbuih mulut” memberikan nasihat mengenai perkara tersebut.

Kita telah pun melalui empat Fasa PKP sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19, yang menyaksikan kesan cukup baik dalam memastikan kita bebas daripada wabak tersebut secepat mungkin.

Ia boleh dianggap sebagai strategi terbaik kerajaan yang berjaya.

Ini dibuktikan apabila kajian mendapati rakyat Malaysia berada di kedudukan keempat dalam kaji selidik global mengenai persetujuan orang awam terhadap langkah yang diambil oleh kerajaan mereka dalam menangani pandemik COVID-19.

Kedudukan itu adalah mengatasi Singapura dan Indonesia yang masing-masing berada di kedudukan ketujuh.

Untuk rekod, kita mencapai kemuncak kes dalam sehari pada 3 April lalu apabila ia mencatatkan 217 kes sehari, namun masih rendah dibandingkan dengan ramalan penganalisis JP Morgan iatu sebanyak 6,300 kes pada 14 April.

Umumnya, kita sedang melalui fasa pemulihan apabila jumlah kes kian menurun dan mendatar, namun ia bukan titik muktamad bahawa kita sudah bebas atau menang dalam peperangan yang dahsyat ini.

Jika kita alpa, lalai dan gagal mengurangkan sikap degil, tidak mustahil kita akan kembali kepada PKP yang baharu. Minta dijauhkanlah.

Apa yang penting, empat fasa PKP yang telah kita lalui sebelum ini adalah tempoh yang cukup untuk menjadi sekolah yang mendidik kita menjadi masyarakat yang prihatin, peka dan bertanggungjawab dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak tersebut.

Saban hari, tanpa boleh keluar rumah, kita dididik agar sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk kerap mencuci tangan menggunakan sabun, cecair pembasmi kuman dan kerap mandi.

Dan, jika perlu keluar rumah atas urusan yang sangat penting, kita diajar memakai topeng mulut dan hidung, manakala jika berada di tempat yang ada orang, penjarakan sosial adalah sesuatu yang diwajibkan.

Kita juga diajar mengenai bagaimana virus COVID-19 ini boleh berjangkit dan apakah pula risiko apabila dijangkiti virus tersebut.

Dalam tempoh dua bulan, boleh dikatakan semua perkara di atas sudah dihafal, malah termasuk anak-anak kecil. Kita sudah khatam mengenai ilmu-ilmu berkenaan.

Namun setelah PKP ini dilonggarkan melalui PKPB, janganlah segala ilmu yang kita pelajari selama ini disia-siakan. Ia sangat tidak patut.

Walaupun kurang selesa dengan keadaan, kita mestilah menerima keadaan tersebut sebagaimana kita faham di saat kita “terkurung” dalam PKP sebelum ini.

Jadilah masyarakat yang menjalani kehidupan di era kebiasaan baharu ini berdasarkan ilmu yang kita pelajari sebelum ini, jangan pandang mudah!.

Berdasarkan tinjauan juga, masih ramai di kalangan masyarakat kita bagaikan sudah kembali kepada kehidupan lama – seolah-olah tidak ada apa yang berlaku, atau mungkin juga mereka merasakan wabak ini sudah berakhir.

Ini dapat dilihat apabila masih ada yang tidak menjaga jarak sosial dan lebih menyedihkan lagi, sudah ada yang melepak atau berkumpul di taman-taman awam.

Begitu juga ketika bulan Ramadan ini, terdapat segelintir di kalangan kita yang mengambil kesempatan berbuka puasa di tempat awam seperti padang atau taman awam sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.

Contoh ini memberi gambaran bahawa masih ada masyarakat yang buat-buat tidak tahu mengenai risiko dan kebolehjangkitan virus COVID-19 ini jika mereka kekal begitu.

Mungkin mereka tertekan selama ini akibat “dikurung” dan apabila diberikan kelonggaran sedikit, mulalah mereka mahu “melepas geram” agaknya.

Apa pun alasan, semua itu masih tidak dibolehkan. Usahlah berdegil dan dengarlah nasihat dan larangan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Dua bulan kita dihidangkan ilmu dan pengalaman mengenai bagaimana untuk mencegah, menangani dan memutuskan jangkitan virus yang sehingga kini masih belum ditemui penawar atau vaksinya.

Justeru, adalah tidak masuk akal jika apabila sedikit kelonggaran diberikan, maka kita kembali menjalani kehidupan seperti orang yang tidak berpengetahuan mengenai COVID-19.

Seharusnya, pengalaman dua bulan lebih menjalani “kuarantin” di rumah  melalui empat PKP, ia sudah memadai untuk menjadikan kita sebagai manusia yang insaf dan takut untuk melakukan hal-hal yang boleh mengundang jangkitan COVID-19.

COVID-19 akan terus ada di negara ini jika kita sendiri enggan berubah sikap atau seringkali memandang mudah mengenai peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Jika kita merasa janggal, semua orang merasai perkara yang sama. Namun, kita tidak diberikan pilihan untuk kali ini jika mahu negara bebas daripada COVID-19 dan kita boleh kembali kepada kehidupan biasa.

Semua orang merindui suasana lalu. Walaupun, ia mungkin akan memakan masa, namun tempoh itu mungkin akan menjadi lebih panjang jika kita kekal dengan sifat dan tabiat degil dengan gagal atau enggan mematuhi peraturan.

Setiap peraturan mengenai COVID-19, walaupun perit dan menyulitkan, namun itulah cara dan langkah untuk memerangi virus tersebut. Ia adalah untuk kebaikan kita, generasi kita dan negara kita.

Untuk menang dalam peperangan memerangi COVID-19, kita tidak diberikan pilihan. Patuhi apa yang diminta dan diarahkan kerajaan. Itu saja. Muktamad! – Planetmahir

Kategori Lain