Bijaklah Menjadi Pengamal Media Sosial

Oleh Ayub Mamat, Penulis Residen

SETIAP kali negara berhadapan dengan isu besar yang bersifat ancaman, termasuk COVID-19, suatu hal yang sering terkait adalah kebimbangan banyak pihak terhadap penyebaran berita dan maklumat palsu.

Selain sikap ingin menjadi pelapor terpantas di media sosial tanpa mengambil kira mengenai kesahihan maklumat serta fakta, tindakan sengaja mengambil kesempatan serta terlalu ghairah menyebarkan maklumat juga telah menambahkan lagi kekeruhan yang ada.

Ancaman itu seringkali berangkai, dan merupakan satu penyakit sikap yang sangat sukar dielak atau diubati.

Bayangkan, menurut Laporan Digital 2018 yang dikeluarkan Hootsuit dan We Are Social, jumlah pengguna internet di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 25.08 juta orang, iaitu mewakili 79 peratus penduduk Malaysia secara keseluruhannya.

Dan, daripada jumlah itu, 75 peratus adalah mereka yang menjadi pengguna perkhidmatan media sosial dengan memperuntukan masa selama tiga jam sehari.

Malaysia juga berada di tangga ke-5 dunia dari segi pengunaan e-dagang terbanyak, dengan 40 peratus penduduk Malaysia pernah mengadakan transaksi atas talian.

Persoalannya, dengan perkembangan dan tabiat pengguna media sosial pada waktu ini, adakah anda merasa selesa?.

COVID-19, mungkin menjadi antara cabaran getir yang terpaksa dilalui kerajaan dan rakyat. Semua orang terdedah dengan penderitaan.

Bukan sahaja soal risiko jangkitan dan mereka yang telah pun dijangkiti tetapi juga bagi mereka yang secara aktif menggunakan perkhidmatan media sosial. Di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), media sosial menjadi satu cabaran lain yang tidak kurang hebatnya.

Iya, semua orang ingin cepat tahu mengenai sesuatu peristiwa dan kejadian. Namun, menerima maklumat tidak soheh dan membantu menyebarkan semula kepada orang lain, ia adalah satu “penyakit berjangkit” yang tidak boleh dipandang mudah.

Dan, sesuatu yang mungkin masih kurang diberikan perhatian ialah mengenai isu ketagihan di kalangan kanak-kanak terhadap pengunaan telefon, sekaligus mendedahkan mereka sebagai pengguna media sosial.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sebanyak 50.4 peratus kanak-kanak di negara ini telah memiki telefon pintar pada usia 12 tahun.

Manakala 78.8 peratus pengguna internet terutama kanak-kanak di Malaysia juga mengalami ketagihan Internet. Keadaan itu amat membimbangkan.

Data juga menunjukkan Malaysia menduduki tangga ketiga di belakang Filipina dan Hong Kong berkaitan kadar ketagihan internet.

Kajian Psychology Department di Hong Kong University (HKU) menyatakan, ketagihan internet ada kaitan dengan faktor luar seperti pencemaran udara, kesesakan lalu lintas dan kepuasan hidup.

Kelekaan bersama media sosial merupakan escapism daripada berhadapan dengan masalah dalaman atau luaran masyarakat. Mungkin juga ia menjadi alasan untuk tidak melakukan aktiviti lain terutamanya kegilaan dalam permainan game online.

Laporan sebuah kajian Globalstat mendapati, lebih 72 peratus penggunaan media sosial di Malaysia antara pengguna tegar atau ketagihan media sosial terutama kebergantungan kepada telefon pintar.

Media sosial yang paling kerap digunakan oleh rakyat Malaysia adalah 79 peratus Facebook, lima peratus Twitter, empat peratus YouTube dan tiga peratus Instagram.

Kajian itu menunjukkan bahawa masyarakat kita lebih ghairah dan obses dengan media sosial berbanding dengan negara maju. Ia bermakna dalam satu jam rakyat Malaysia akan sentiasa melihat atau mengintai telefon pintar mereka setiap 10 minit atau kurang.

Data-data di atas, jelas menunjukkan mengenai betapa hebatnya rakyat Malaysia sebagai pengguna media sosial atau internet.

Sudah tentu dengan persekitaran yang pelbagai, ditambah dengan cara berfikir masyarakat kita yang kadangkala dhaif mengenai tanggungjawab terhadap pengurusan pengguna media sosial, maka sudah tentu kita juga akan berhadapan dengan masalah yang lain pada masa akan datang.

Pola fikir segelintir masyarakat kita memang begitu. Terima, percaya dan kongsikan kepada orang lain. Sahihkah maklumat itu, ia bukanlah satu tanggungjawabnya lagi.

Akhirnya maklumat palsu itu pun merebak dan tersebar. Masyarakat yang sudah keliru akan bertambah keliru.

Lebih menyedihkan, “sikap seronok” menyebar maklumat palsu itu sentiasa telah menguasai pemikiran segelintir daripada kita.

Berubahlah, fikirkan kesan dan akibatnya daripada penyalahgunaan media sosial.

Dalam dunia yang serba maju, kita pasti ingin dilihat sebagai maju. Namun ada ketika, kita kelihatan seperti jauh mundur ke belakang kerana cara kita berfikir dan kegagalan kita membuang perangai buruk mengenai cara mengurus penggunaan media sosial. -Planetmahir.com

Kategori Lain