Oleh Ayob Mamat, Penulis Residen
DENGAN pandemik COVID-19 sejak akhir tahun lalu, kehidupan kita semua tiba-tiba berubah, tidak seperti kebiasaan, bebas ke mana-mana, bertemu sesiapa pun ? suasana juga berubah, kita menjalalani kehidupan dalam ruangan yang sangat, serba tidak boleh.
COVID-19 sebenarnya bukan sahaja mengubah kehidupan kita di sini, tetapi di seluruh dunia yang terpaksa hidup di luar kebiasaan, penuh tekanan dan semuanya dalam keadaan keterbatasan yang ketat serta terhad.
Secara umumnya, wabak ini akan memakan masa yang lama, apatah lagi jika jangkitannya tidak ditangani dengan penuh tumpuan, ia akan menambahkan lagi tempoh waktu kita perlu hidup di luar kebiasaan. Apakah kita sanggup begitu dan bersedia begitu?
Bukan sebulan atau dua bulan, tetapi mungkin akan memakan masa yang lebih panjang daripada itu tertakluk kepada keupayaan dan kejayaan kita menangani jangkitan virus yang sangat merbahaya dan cepat membawa maut itu.
Cuba anda bayangkan, setakat ini jumlah mereka yang dijangkiti virus tersebut di seluruh dunia telah pun mencecah angka dua juta orang, manakala lebih 140,000 lagi telah pun maut.
Apakah anda tidak merasa takut?
Sama ada menyukainya atau pun tidak, kita mesti bersedia dengan kehidupan dalam era ?new normal?, ketika pandemik COVID-19 masih belum reda.
Kita khuatir jika masih kekal dengan kedegilan untuk terus menjalani kehidupan seperti sebelum ini ? bebas ke mana-mana tanpa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), keluar rumah dengan alasan remeh, degil tidak mahu selalu mencuci tangan dan tidak mengamalkan jarak sosial selamat ? ia akan terus mengikat kita dengan pelbagai sekatan yang ketat.
Segala-galanya sudah berubah, kehidupan semua orang di dunia kini sudah berubah, ia terlalu pantas berlaku. Sudah pasti kita tidak pernah menjangkakannya.
Apa itu new normal? Kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan Amanat Khasnya baru-baru ini berkata, ia adalah kehidupan dengan kebiasaan yang baharu. Dalam erti kata lain, lain daripada yang sekarang.
Misalnya, mengamalkan budaya lebih kerap mencuci tangan, melakukan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dan seumpamanya adalah satu kebiasaan baharu yang perlu menjadi tabiat atau sebahagian daripada kehidupan pada waktu sekarang dan akan datang.
Begitu juga memakai topeng muka dan mulut ketika berada di tempat awam dan tidak berkumpul dengan jumlah orang yang ramai perlu dijadikan kebiasaan. Walaupun kelihatan seperti pelik dan berbeza dengan keadaan sebelum ini, namun itulah kebiasaan baharu yang harus kita lalui.
Keadaan tidak memberikan kita pilihan untuk mengelaknya jika mahu selamat daripada jangkitan virus yang belum ditemui vaksin untuk merawat mangsa setakat ini.
Atau anda mahu kekal dengan kebiasaan lama, tetapi sudah anda juga tidak mampu menolak kemungkinan anda mungkin mangsa seterusnya yang berada di dalam senarai manusia yang dijangkiti atau maut kerana COVID-19.
Jauh daripada itu, langkah-langkah kehidupan secara mandatori akan lebih banyak mengikat kita sebagai manusia normal yang berada di dalam lingkaran ‘new normal’.
Soalnya, apakah kita bersedia dengan kebiasaan yang baharu ini? Sebenarnya keupayaan kita untuk hidup dalam keadaan tersebut adalah bermula atau pun tertakluk pada tahap keinginan dan cara kita berfikir.
Contoh ini mungkin sedikit lucu, namun ia benar-benar berlaku. Apabila kerajaan mengumumkan bahawa tiada bazar Ramadan yang dibenarkan sepanjang bulan puasa yang bakal datang beberapa hari lagi, banyak pihak yang mengeluh dan merungut.
Ramai yang gelisah dan serba tidak kena. Ada pula yang sengaja membuat lawak kononnya, mereka tidak mahu berpuasa hanya kerana tiadanya bazar Ramadan. Ini semua adalah gambaran betapa sinonimnya bazar Ramadan dengan suasana berpuasa di negara kita yang aman damai ini. Syukur.
Realitinya, kita seolah-olah masih sukar menerima kebiasaan baharu ini apabila bazar Ramadan tidak lagi wujud ketika wabak COVID-19 masih mengganas mencari mangsa-mangsanya.
Padahal, ibadah puasa itu sepatutnya tidak dilihat ?akan terjejas? hanya semata-mata tiadanya bazar Ramadan.
Mereka yang berfikiran positif akan melihat keadaan tersebut dengan tafsiran yang berbeza dengan orang lain ? bazar Ramadan selalunya mendedahkan kita dengan isu pembaziran dan perbelanjaan yang di luar kemampuan.
Jadi, mereka lebih segera menerima kebiasaan baharu bulan puasa ini tanpa bazar Ramadan.
Itu adalah contoh kecil bagaimana cara kita berfikir dan menerima kebiasaan baharu dalam kehidupan yang serba terhad. Kebiasaan baharu tidak lagi memerlukan Bazar Ramadan tetapi lebih kepada kemudahan-kemudahan sedia ada yang boleh dimanafaatkan.
Pembelian makanan secara dalam talian misalnya adalah satu pilihan paling tepat untuk menggantikan bazar Ramadan, manakala sisi positifnya yang lain pula ialah makanan yang dimasak sediri di rumah adalah dijamin dari segi khasiat dan kebersihannya.
Begitu juga dengan solat sunat Terawikh, ramai yang merungut kerana tanpa kebenaran menunaikan solat tersebut di masjid, ia seolah-olah hilang ‘kemeriahan Ramadan’. Itu cara kebiasaan lama.
Di sebalik kebiasaan yang baharu, kita boleh menunaikan solat sunat Terawikh tersebut secara berjemaah di rumah bersama ahli keluarga. Ia tidak mengurangkan apa-apa pun. Malah ia mampu menyumbang kepada hubungan akrab sesama keluarga selain mendidik ketua keluarga sebagai imam solat berjemaah di rumah.
Kenapa ada yang mengeluh? Apakah anda belum bersedia atau teruji sebagai imam kepada anak, isteri, ibu dan bapa serta adik beradik ketika solat berjemaah di rumah?.
Inilah masanya, ketika duduk di rumah, segala-galanya boleh dilakukan bersama keluarga termasuk di sepanjang bulan Ramadan nanti.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah pun memasuki fasa ketiga dan belum pasti bilakah ia akan berakhir, sudah tentu menjadi tempoh panjang untuk kita membentuk diri bagi menerima kehidupan secara kebiasaan yang baharu ini.
Secara tidak langsung, kita sudah terdidik. Tinggal lagi apakah kita mahu terus kekal dengan disiplin hidup sedemikian atau mahu kembali kepada kehidupan kebiasaan yang lama tanpa takut kepada jangkitan.
Ingat, walaupun selepas PKP ditamatnya, ia bukan jaminan bahawa kita akan hidup normal sebagaimana sebelum penularan wabak COVID-19 ini dan bukan juga satu jaminan bahawa jangkitan tidak akan berlaku.
Oleh sebab itulah, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan berbuih mulut mengingatkan kita agar mengubah cara hidup, berdisplin dalam menjaga kesihatan diri, sama ada di luar atau di dalam rumah.
Mengapa? Sebabnya kita perlu menjalani kehidupan dalam keadaan kebiasaan yang baharu.
Hanya itu jaminan, kehidupan kita selamat dan orang lain pun terselamat – sekurang-kurangnya untuk tempoh waktu sekarang – maka bersedialah dengan menjalani kehidupan dengan kebiasaan yang baharu. -Planetmahir.com